Pengurusan kes permohonan anak YDP Sarawak ditetap 15 Ogos

Sulaiman Abdul Rahman, Raghad Kurdi
Sulaiman Abdul Rahman, Raghad Kurdi
A
A
A

KUCHING - Mahkamah Tinggi Kuching pada Isnin menetapkan 15 Ogos sebagai tarikh untuk pengurusan kes bagi satu permohonan injunksi yang difailkan oleh bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib terhadap ibu tirinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan berkenaan, yang turut menamakan RHB Bank Berhad sebagai defendan kedua dalam tuntutan.

Prosiding hari ini turut mendengar janji kedua-dua pihak plaintif dan defendan untuk tidak berurusan atau menjual saham sebagaimana yang dinyatakan dalam tuntutan itu, sehingga tamat kes permohonan.

Sulaiman yang juga pengarah urusan kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad diwakili oleh peguam, Alvin Chong dan Jonathan Tay, manakala Raghad diwakili oleh Alvin Yong dan enam peguam lagi dalam kes berkenaan. RHB Bank Berhad pula diwakili oleh Tan Kee Heng dan Lesley Ling Lyn.

Media sebelum ini melaporkan Sulaiman memohon injunksi berhubung pemindahan saham sebuah syarikat swasta kepada Raghad.

Sulaiman yang merupakan anak lelaki kedua Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud menerusi perkahwinan pertama beliau dengan Toh Puan Laila Taib, yang meninggal dunia pada 29 April 2009.

Abdul Taib berkahwin dengan Raghad pada 18 Disember 2010. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Taib Mahmud saman ibu tiri