Feri hibrid terbesar di dunia mula belayar di Selat Inggeris

Feri Pioneer P&O beroperasi dengan penjana diesel dan kuasa bateri elektrik bersamaan 2.3 juta bateri saiz AA, dibina sejak 2019 pada kos kira-kira AS$142.4 juta. - Foto P&O Ferries
Feri Pioneer P&O beroperasi dengan penjana diesel dan kuasa bateri elektrik bersamaan 2.3 juta bateri saiz AA, dibina sejak 2019 pada kos kira-kira AS$142.4 juta. - Foto P&O Ferries
A
A
A

LONDON - Feri hibrid terbesar di dunia yang dilengkapi dua laluan keluar masuk, mula belayar di Selat Inggeris dalam usaha untuk menyumbang kepada perjalanan yang lebih mesra alam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Feri Pioneer P&O mula beroperasi pada 19 Jun bagi laluan Dover ke Calais, dengan pengurusan syarikat menjangkakan ia dapat mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon.

Kapal itu yang beroperasi dengan penjana diesel dan kuasa bateri elektrik bersamaan 2.3 juta bateri saiz AA, dibina sejak 2019 pada kos kira-kira £111 juta (AS$142.4 juta).

Kapal hibrid kedua Liberte akan mula beroperasi pada November tahun ini dengan kos yang hampir sama.

Pioneer dan Liberte, yang menambah bilangan kapal Kelas Fusion dalam kumpulan kapal baharu P&O, akan beroperasi bersama dua kapal lama dalam Kelas Spirit di laluan sibuk yang menghubungkan Britain dengan benua itu.

Syarikat itu tidak mempunyai perancangan untuk membina kapal hibrid seterusnya disebabkan peningkatan kos berjumlah £136 juta hingga £145 juta setiap satu, namun pengurusan P&O sebaliknya mahu mengubah model hibrid mereka kepada kumpulan kapal elektrik sepenuhnya apabila infrastruktur di Dover dan Pelabuhan Calais siap.

Bakal pengarah kapal P&O Ross Barrett berkata: "Kami sedang melihat bagaimana boleh meneruskan usaha untuk menjadikan kumpulan kapal kami lebih mampan ekoran perubahan teknologi sepanjang masa.”

Beliau berkata, syarikat itu 'mahu melihat' semua infrastruktur di pelabuhan tersedia sebelum 2030 dangan rundingan mengenainya sedang berjalan.

Barrett berkata: "Kami sedang mengambil langkah yang sangat diperlukan dalam industri maritim. Kami boleh bina lagi kapal kelas Spirit namun ia tidak memenuhi keperluan kami."

Bercakap mengenai cabaran kewangan yang dihadapi oleh syarikat feri itu terutama disebabkan pandemik, Barrett berkata, P&O perlu memastikan projek hibrid itu diteruskan bagi mengelak kemerosotan dalam perniagaan berikutan kos penyelenggaraan kapal lama yang semakin tinggi.

"Kami perlu mengekalkan projek itu bagi mengerakkan perniagaan akibat Covid-19."

Beliau berkata, bahagian pasaran syarikat itu kini bangkit semula ke tahap sebelum Covid-19 pada 43 peratus bagi laluan Dover ke Calais. - Bernama-dpa