RM150 juta bina 700 unit PPR di Mukim Pantai

Nga Kor Ming (dua dari kiri) dan Aminuddin (tiga dari kiri) ketika menyerahkan surat tawaran berkenaan kepada pemohon terlibat.
Nga Kor Ming (dua dari kiri) dan Aminuddin (tiga dari kiri) ketika menyerahkan surat tawaran berkenaan kepada pemohon terlibat.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan ( KPKT ) mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di tanah seluas 18.5 hektar di Negeri Sembilan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia membabitkan pembinaan 700 unit rumah berkonsepkan kondominium di atas tanah milik kerajaan Negeri Sembilan iaitu di Mukim Pantai, Seremban.

"Rumah berkenaan dijangka dibina pada hujung tahun ini yang mana saya melihat lokasi ini berpotensi dan cukup luas untuk dibangunkan mempunyai green lungs semula jadi sebagai kawasan riadah.

"Dengan perancangan dan pembinaan landskap yang baik, saya yakin kita dapat membina kawasan perumahan yang mesra penghuni sekali gus menangkis tanggapan serong terhadap PPR," katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan surat tawaran menduduki PPR Ladang Tanah Merah atau PPR Desa Tanjung di sini kepada seramai 94 pemohon pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Amunddin Harun.

Kor Ming berkata, ia merupakan projek yang terbesar di Negeri Sembilan dengan harga yang ditawarkan RM45,000 satu unit.

"Kali pertama saya datang, saya mengumumkan peruntukan RM13.3 juta untuk Negeri Sembilan, minggu lepas pula saya umumkan sebanyak RM31.04 juta, dan pada hari ini saya tambah lagi peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pembinaan PPR di negeri ini.

"Saya juga yakin Mukim Pantai bukanlah satu-satunya lokasi PPR yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan, kalau ada KPKT akan datang lagi," katanya.

Sebahagian penerima bersama Nga Kor Ming (enam dari kanan) dan Aminuddin (tujuh dari kanan).
Sebahagian penerima bersama Nga Kor Ming (enam dari kanan) dan Aminuddin (tujuh dari kanan).

Sementara itu, mengenai PPR Desa Tanjung, beliau berkata, ia melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM20 juta bagi membina 100 unit rumah yang berkeluasan 700 kaki persegi termasuklah satu unit rumah orang kurang upaya (OKU), dewan serba guna, surau, medan selera dan tadika.

Katanya, semua pemohon yang berjaya telah ditawarkan pemilikan rumah secara Skim Sewa-untuk-Milik atau Rent- to-Own (RTO). Baki unit akan dibuat pengisian secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

"Projek ini merupakan projek istimewa kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan kerana ia merupakan projek PPR kepada komuniti estet di kawasan ini iaitu KKS Tanah Merah, Ladang Bukit Pelandok dan Ladang Tanah Merah

"Ini selari dengan agenda negara dan hasrat kerajaan Madani untuk menyediakan rumah yang selesa, mampu dimiliki dan berdaya huni kepada rakyat.

"PPR Desa Tanjung merupakan empat buah projek PPR yang telah dibangunkan di Negeri Sembilan oleh KPKT.Sebanyak tiga lagi projek PPR di negeri ini adalah PPR Senawang, PPR Ladang Siliau dan PPR Rantau," katanya.