KLCAH desak kerajaan perkenal lebih banyak pakej ekonomi

Kee Kan
Kee Kan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall (KLCAH) mendesak kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak pakej rangsangan ekonomi yang lebih berkesan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan berkata, desakan itu dilontarkan bagi mengurangkan beban perniagaan dan meringankan tekanan rakyat.

"Kami berharap agar Perdana Menteri dan jabatan-jabatan berkaitan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi mempercepatkan usaha mereka dan melaksanakan dasar-dasar yang berkesan bagi meringankan tekanan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan KLCAH di ibu negara yang dihadiri lebih daripada 150 ahli termasuk pengerusi daripada pelbagai pertubuhan dan persatuan Cina.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan berjanji untuk meluluskan pembiayaan penyelenggaraan bagi semua sekolah beraliran Cina apabila permohonan dikemukakan.

"Berita ini sangat baik bagi sekolah-sekolah tersebut," katanya.

Selain itu, KK Chai turut berkata, era pasca Covid-19 menyebabkan perkembangan ekonomi global dan negara menyusut menyebabkan penurunan dalam angka import dan eksport Malaysia serta memperburuk tren kejatuhan ekonomi.

"Selain itu, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan kadar faedah berkali-kali dan harga barang keperluan asas tetap tinggi, menambah tekanan kepada kehidupan orang biasa," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Kementerian Pelancongan menangguhkan program Visit Malaysia yang asalnya dijadualkan pada tahun 2025 kepada tahun 2026, beliau berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan perkara itu secara serius.

"KLCAH kesal apabila bilangan pelancong yang melawat Malaysia tidak pulih sepenuhnya tahun ini selepas industri pelancongan terjejas teruk akibat pandemik dan berharap untuk melihat tanda-tanda pemulihan ketika China dan seluruh dunia membuka secara beransur-ansur, tetapi realitinya berbeza," katanya.

Beliau berkata, semua sektor mempunyai harapan tinggi terhadap Kementerian Pelancongan dan berharap promosi antarabangsa dilaksanakan dengan lebih banyak serta peningkatan jumlah penerbangan, pelaksanaan dasar visa ketibaan dan kajian menyeluruh terhadap program Malaysia My Second Home (MM2H).

"Langkah-langkah ini diharapkan dapat memulihkan industri pelancongan dan memberi manfaat kepada seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa rakyat Malaysia agar keluar dan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri masing-masing tidak lama lagi.

"Matlamatnya adalah untuk memilih kerajaan negeri yang inklusif, berpandangan terbuka dan berwawasan serta membolehkan kerajaan negeri seiring dengan inisiatif kerajaan pusat dalam mempromosikan aktiviti ekonomi, menstabilkan ekonomi, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Sekarang ini, pengundi lebih matang daripada sebelumnya dan sistem demokrasi di negara kita berkembang dengan baik.

"Pengundi juga harus belajar menilai keupayaan pemerintahan setiap parti politik dan tidak mudah tertipu oleh desas-desus politik, pembohongan dan janji yang tidak dipenuhi," katanya lagi.