Kerajaan Pulau Pinang peruntuk RM700 juta untuk PSB Mahsuri

Kon Yeow (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran PSB Mahsuri pada Isnin.
Kon Yeow (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran PSB Mahsuri pada Isnin.
A
A
A

BAYAN BARU - Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM700 juta dalam Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) Mahsuri yang melibatkan 300 pemilik asal dengan 1,480 unit kediaman baru.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek perintis itu merupakan salah satu daripada lima projek PSB yang bakal dilaksanakan di negeri ini iaitu masing-masing satu di daerah Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara manakala dua di Timur Laut.

Menurutnya, PSB Mahsuri adalah sebahagian daripada kelulusan kerajaan Pulau Pinang berkaitan Rancangan Pelan Induk 2021-2025 Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) mengandungi 14 projek iaitu sembilan projek rumah mampu milik (RMM) dan lima PSB.

"Fasa 1 bagi PSB Mahsuri telah bermula Mei lalu dan dijangka siap pada April 2028, manakala Fasa 2 akan bermula pada 2027 dan dijangka siap 2032. Projek rumah ganti ini akan disiapkan terlebih dahulu sebelum kita memindahkan penduduk ke blok-blok baru.

"Blok-blok lama akan dirobohkan untuk melaksanakan fasa kedua yang melibatkan komponen lain (dalam projek ini). PSB ini akan menggantikan satu rumah kepada satu rumah yang mana, rumah ganti ini adalah RMM yang berkeluasan 340 meter persegi dengan kemudahan dua bilik mandi dan lain-lain berbanding keadaan sekarang," katanya selepas Majlis Pelancaran PSB Mahsuri di sini pada Isnin.

Kata Kon Yeow, di bawah aspirasi Visi Penang2030 dalam menangani isu kemampuan dan kepelbagaian perumahan, kerajaan negeri tetapkan tiga sasaran iaitu sasaran pertama membekalkan 220,00 unit RMM pelbagai kategori menjelang 2030.

"Sasaran kedua pula adalah membekalkan 22,000 unit sewa beli (RTO) bagi mengatasi isu pembiayaan pinjaman manakala sasaran ketiga adalah bagi memastikan 3,000 keluarga mendapat faedah PSB.

"Kita mensasarkan hanya 3,000 keluarga akan memperoleh faedah PSB ini namun setelah menelitinya kembali, dianggarkan seramai 6,020 keluarga akan terlibat dalam projek ini," katanya.

Tambah beliau, projek PSB Mahsuri yang mengandungi lima blok itu melibatkan pembangunan berstrata atau milikan individu.

"Berdasarkan landskap perumahan sekitar Bayan Baru dan Mahsuri juga, terdapat banyak lagi skim perumahan kos rendah berstrata yang berpotensi untuk fasa seterusnya. Kerajaan negeri dalam usaha memperluaskan PSB yang mana, kita telah meluluskan Garia Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bilangan 9 2022 pada September 2022.

"Oleh itu, LPNPP perlu terus mengkaji potensi dan keperluan membaharui bandar khususnya di kawasan urban bagi mengoptimumkan penggunaan tanah termasuk jalinan kerjasama bersama agensi lain," katanya lagi.

Kon Yeow berkata, pembaharuan semula bandar bukan perkara mudah kerana beberapa kekangan antaranya akta-akta sedia ada.

"Proses penamatan skim strata memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik petak untuk pelaksanaan projek PSB ini seperti yang termaktub dalam Akta Hakmilik Strata 1985[Akta 318]. Jika hanya seorang tidak bersetuju, projek tak boleh jalan.

"Tetapi dalam kes ini, tanpa sebarang akta pindaan, kita telah mempunyai 100 peratus persetujuan sokongan untuk melaksanakan projek ini. Bagaimanapun, bukan semua projek PSB ini kita mendapat sokongan penuh, ini lah kekangan yang perlu kita hadapi," katanya.