Yayasan MR D.I.Y anjur pelbagai program komuniti

No Image Caption
A
A
A

KUMPULAN MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y) menerusi Yayasan MR D.I.Y, akan melaksanakan pelbagai program komuniti sekali gus memberikan nilai tambah kepada kehidupan rakyat Malaysia.

MR D.I.Y dalam satu kenyataan berkata, yayasan yang baharu ditubuhkan baru-baru ini telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif, Zaleha Mohd Mydin yang baharu untuk menerajui dan melaksanakan program dirancang.

“Bidang tumpuan yayasan berkenaan termasuklah perlindungan alam sekitar, peningkatan kesihatan dan kesejahteraan penduduk, menyokong program pembangunan dan peningkatan kapasiti, serta mempromosikan dan memupuk seni dan budaya kaya Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Zaleha berkata, misi Yayasan MR D.I.Y. ialah melaksanakan program yang memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Saya teruja untuk memulakan kerja bersama-sama pasukan kami, rakan kongsi, dan pelbagai agensi kerajaan untuk merealisasikan wawasan ini. Tujuan kami adalah untuk meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat. Kami mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kumpulan MR D.I.Y. kerana menyokong penubuhan Yayasan ini,” kata Zaleha.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad, Adrian Ong berkata, Zaleha memainkan peranan penting dalam menjayakan program impak komuniti Kumpulan MR D.I.Y. selama bertahun-tahun termasuk memimpin pasukan MR D.I.Y. Cares dan pelbagai inisiatif lain yang kami jalankan semasa pandemik Covid -19.

“Zaleha mempunyai pengetahuan, pengalaman dan semangat yang diperlukan untuk memastikan Yayasan MR D.I.Y. memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan komuniti.

“Kami mengamanahkan beliau dengan sokongan dan sumber untuk membantu merealisasikan visi kami menjadikan Malaysia lebih baik," kata Ong.

Pada 2022, MR D.I.Y. telah melaksanakan lebih daripada 90 program impak komuniti, memberi manfaat kepada lebih daripada 126,000 penerima dan komuniti mereka.

Kumpulan ini juga telah menerima anugerah ESG pertamanya, sebagai Pemain Baru Terbaik dalam Kategori Ekuiti, dalam The Edge ESG Awards 2022 yang pertama.