5,000 penjawat awam kontrak di Selangor diserap ke jawatan tetap

Amirudin melawat tapak pameran selepas merasmikan Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 di sini pada Ahad.
Amirudin melawat tapak pameran selepas merasmikan Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 di sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar penyerapan penjawat awam bertaraf kontrak ke jawatan tetap di Selangor adalah tinggi iaitu seramai 5, 000 daripada 7, 000 penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar penyerapan itu dilakukan dengan mengikut saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor (SPN).

Menurutnya, kebanyakan diserap adalah individu berpengalaman sehingga jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik dan sebagainya malah sebahagian besarnya diserap oleh perjawatan di peringkat Persekutuan.

“Jadi, apa isunya kalau mereka sudah disahkan jawatan, mereka sewajarnya boleh mendapat siri temuduga atau pun pembangunan.

“Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pun sudah tidak praktiskan perkara itu cuma tidak dibatalkan, itu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 di sini pada Ahad.

Selasa lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) kesal dengan tindakan kerajaan Selangor membatalkan dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, dasar pelantikan tetap penjawat awam bertaraf kontrak tersebut juga sudah tidak menjadi amalan di kebanyakan negeri.

“Saya ingat, mungkin ada salah faham bila kita batalkan pekeliling, ia jadi isu. Negeri lain tidak batal pekeliling (namun ia) tidak laksanakan pun dan itu (sebagai) maklum balas awal, biar saya dapatkan juga (maklumat) daripada JPA.

"Sebab, akhirnya pentadbiran awal di peringkat negeri sebahagian besarnya adalah pentadbiran awam di peringkat Persekutuan sama ada pegawai itu diambil atau posisi mereka dalam jawatan itu ditetapkan oleh JPA,” katanya lagi.