Beberapa Lebuh Raya CSR dibuka menjelang Aidiladha

Pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) akan memendekkan masa pengguna jalan raya ke Kelantan.
Pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) akan memendekkan masa pengguna jalan raya ke Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) akan dibuka kepada pengguna bermula 25 Jun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebahagian jalan berkenaan ialah bagi Pakej 5A dan sebahagian 5B (Susur keluar Universiti Teknologi Mara Raub).

Beliau berkata, lebuh raya yang sepatutnya disiapkan hujung tahun ini diawalkan berikutan mengambil kira lebih 500,000 kenderaan yang melalui jalan itu terutama perantau dari Kelantan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Sebenarnya, kerja-kerja pembinaan dijangka siap dalam masa yang agak panjang tetapi saya minta Jabatan Kerja Raya dapat menyegerakan arahan kepada kontraktor supaya dapat menyiapkan sepenuhnya pada 25 Jun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan pada Ahad.

Abdul Rahman (dua dari kiri) tiba pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan pada Ahad.
Abdul Rahman (dua dari kiri) tiba pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan pada Ahad.

Abdul Rahman memberitahu, lebuh raya sepanjang 17 kilometer dan dua hala itu dapat membantu mengurangkan perjalanan pengguna di Kelantan sehingga 45 minit.

Jelas beliau, pada September akan dibuka satu lagi seksyen yang membolehkan kenderaan keluar ke kawasan industri Raub.

Sebelum ini, Abdul Rahman mengadakan lawatan mengejut untuk melihat perkembangan kerja-kerja semasa di lebuh raya itu.

Projek itu juga bakal memberi keselesaan kepada semua pengguna terutama dari Pantai Timur.