Jom Makan Durian inisiatif tambah dana bina masjid

Orang ramai yang membanjiri pekarangan masjid sempena program Jom Makan Durian pada Sabtu.
Orang ramai yang membanjiri pekarangan masjid sempena program Jom Makan Durian pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Pekarangan Masjid Al Hasan Kampung Berhala Gantang di sini dipenuhi ribuan penggemar durian menerusi program Jom Makan Durian pada Sabtu.

Program tersebut hasil inisiatif pengurusan masjid untuk dana pembinaan masjid baharu di kampung tersebut susulan yang sedia ada kian usang dan berusia hampir 100 tahun, selain kurang sesuai selepas dilanda banjir beberapa kali.

Pengerusi masjid, Hirman Abdul Khairi memberitahu, sebanyak satu tan durian pelbagai varieti antaranya D24, durian kampung khawin dan musang king dibawa ke masjid itu untuk program tersebut yang dijalankan selepas kuliah dhuha.

Menurutnya,selain berpeluang menikmati raja buah itu, orang ramai juga boleh menyumbang untuk dana masjid yang memerlukan kos kira-kira RM3 juta.

Hirman
Hirman

"Sebanyak 700 tiket yang diperuntukkan yang dijual dengan harga RM10 untuk sekepala habis pada program ini.

"Kita berjaya mengutip RM11,800 menerusi program ini yang juga turut tidak ketinggalan sama-sama menyumbang untuk merealisasikan pembinaan masjid baharu," kata beliau kepada Sinar Harian.

Tambah beliau setakat ini, pengurusan masjid telah berjaya mengumpul RM1.2 juta bagi tujuan tersebut.

"Kita akan membina masjid baharu bersebelahan masjid sedia ada yang telah dibina pada 1926.

Pengisian kuliah dhuha sebelum aktiviti Jom Makan Durian dijalankan di masjid tersebut.
Pengisian kuliah dhuha sebelum aktiviti Jom Makan Durian dijalankan di masjid tersebut.

"Memang masjid baharu sangat diperlukan kerana keadaan masjid sedia ada kurang sesuai walaupun selepas beberapa kali ubah suai," jelas Hirman lagi.

Tambah beliau, pelbagai program telah dilakukan oleh pengurusan masjid bagi menjayakan usaha tersebut.

"Kita juga merancang jualan amal set patin tempoyak yang dijual RM15 bagi satu set pada Sabtu depan selepas kuliah dhuha," ujarnya sambil memberitahu masjid baharu boleh menampung hingga 750 orang berbanding 500 orang di masjid sedia ada untuk satu masa.