PAFA belum terbubar

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) berjaya diselamatkan daripada terbubar akibat kemelut yang melanda persatuan itu sebelum ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang memaklumkan rayuan dibuat persatuan itu diterima oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, sebelum ini Pesuruhjaya Sukan (PJS) sudah menghantar surat pembatalan PAFA itu namun pihak persatuan mengemukakan surat rayuan terus kepada menteri untuk dipertimbangkan semula keputusan pembatalan tersebut.

"Pada saya, PAFA ini persatuan yang paling tua, 100 tahun umurnya. Tidak wajar untuk kita membiarkan ia terbatal dengan isu-isu yang semua tahu. Kerajaan negeri telah mengambil pendekatan menghubungi menteri untuk memberi pertimbangan supaya melakukan tindakan yang bersesuaian dengan perlembagaan PJS dan sebagainya agar PAFA ini tidak terbatal.

"Menteri (Hannah) telah pun menghubungi saya dan berbincang mengenai perkara tersebut. Beliau akan melantik jawatankuasa bertindak dan ahlinya akan dipilih oleh menteri bagi melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PAFA untuk memilih ahli jawatankuasa baharu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Jalinan Kolaborasi empowerNCER Akademik di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Khairudin berkata, langkah segera yang diambil oleh PAFA bersama kerajaan negeri itu menampakkan keputusan positif apabila persatuan itu dapat diselamatkan daripada terbubar.

Sebelum ini, PJS membuat keputusan menggantung badan induk bola sepak Perak itu selama enam bulan susulan kemelut yang melanda pada 7 Mac 2022 lalu.

Kemelut permasalahan PAFA dikatakan berpunca daripada tindakan kedua-dua kumpulan bertelagah dalam PAFA untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana tidak mengikut peraturan dan perlembagaan persatuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!