Selangor catat 2.6 peratus kadar pengangguran suku tahun pertama

Mohd Khairuddin (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ketika Sesi Walkabout Program Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 14, Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Khairuddin (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ketika Sesi Walkabout Program Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 14, Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor merekodkan kadar pengangguran sebanyak 2.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 berbanding 2.9 peratus kadar keseluruhan tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, penurunan itu melambangkan keadaan ekonomi negeri yang bertambah baik.

"2.6 peratus ini merupakan kadar pengangguran dalam negeri berdasar data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang melibatkan anggaran 60,000 hingga 70,000 individu (yang tidak bekerja).

"Kalau untuk dua hari penganjuran karnival ini yang menyediakan 10,000 peluang pekerjaan, kadar pengangguran tersebut boleh pergi lebih rendah daripada itu (untuk keseluruhan tahun ini)...kerana setiap kali kita laksanakan karnival ini, tidak kurang 2,000 individu yang dapat pekerjaan terus (di karnival itu),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Sabtu.

Program dua hari yang berakhir pada Ahad itu, menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan daripada lebih 100 syarikat dan agensi kerajaan.

Sekitar 15,000 pengunjung hadir ke karnival berkenaan. - Bernama