PKNS sasar 20 unit Azhara, Cassia terjual

Md Kamarzan (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Discover PKNS Antara Gapi pada Sabtu.
Md Kamarzan (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Discover PKNS Antara Gapi pada Sabtu.
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan pakej menarik bagi pembelian kediaman Azhara dan Cassia sempena Kempen Discover PKNS 2023 yang berlangsung di Antara Gapi Serendah pada Sabtu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS, Ir Md Kamarzan Md Rais berkata, antara pakej menarik ditawarkan termasuk diskaun selain PKNS turut menanggung kos perjanjian jual beli (SPA) kepada bakal pembeli kediaman berkenaan.

Menurutnya, berbaki 20 unit rumah berkembar dua tingkat daripada keseluruhan 200 unit belum terjual setakat ini.

"Keistimewaan unit Cassia dan Azhara mempunyai reka bentuk moden dengan persekitaran selesa selain berhampiran Rawang Bypass yang memudahkan akses untuk ke Kuala Lumpur.

"Harga jualan adalah antara RM600,000 ke RM700,000 selepas diskaun dan menyasarkan baki unit tersebut mampu dijual sepenuhnya melalui kempen yang dijalankan hari ini," katanya selepas majlis perasmian Kempen Discover PKNS 2023@Antara Gapi pada Sabtu.

Md Kamarzan (tengah) ketika majlis Discover PKNS Antara Gapi berlangsung di Tasik Antara Gapi pada Sabtu.
Md Kamarzan (tengah) ketika majlis Discover PKNS Antara Gapi berlangsung di Tasik Antara Gapi pada Sabtu.

Kempen tersebut berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad menawarkan pakej jualan Cassia berkeluasan 2,375 kaki persegi (harga asal RM731,000) dan Azhara berkeluasan 2,796 kaki persegi (RM835,000).

Md Kamarzan berkata, pada kempen tersebut, PKNS turut perkenal projek baharu di perbandaran Antara Gapi membabitkan 90 unit rumah berkembar di Seksyen 6A bakal dibangunkan pada Ogos.

Ujarnya, PKNS kini giat menambah baik fasiliti dan landskap Antara Gapi disusuli pembukaan galeri jualan bagi projek baharu berkenaan.

Beliau berkata, pembukaan restoran makanan segera, McDonald's di Antara Gapi dijadualkan November ini juga dijangka bakal menarik pembeli hartanah di kawasan perbandaran tersebut.

Antara Gapi merupakan sebuah perbandaran terancang seluas 952.57 ekar yang dibangunkan oleh PKNS sejak 1998 terdiri unit perumahan serta komersial.

Perbandaran itu bertema panorama alam tropika menawarkan pelbagai kemudahan kepada pembeli antaranya Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, pusat komersial, taman permainan serta kawasan rekreasi yang memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penduduk sekitarnya.