Curi kereta sorong bayi, lelaki dijel dua minggu

Pihak polis membawa Mohamad Razie ke Mahkamah Majistret Sepang untuk menghadapi pertuduhan mencuri kereta sorong bayi dan telefon bimbit milik sebuah keluarga, dua minggu lalu.
Pihak polis membawa Mohamad Razie ke Mahkamah Majistret Sepang untuk menghadapi pertuduhan mencuri kereta sorong bayi dan telefon bimbit milik sebuah keluarga, dua minggu lalu.
A
A
A

SEPANG - Tindakan seorang pelayan restoran mencuri kereta sorong bayi dan telefon bimbit milik sebuah keluarga ketika berada di tandas pasar raya, mengundang padah apabila dia dipenjara dua minggu dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Mohamad Razie Awang Sulong, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 12 Jun lalu.

Jika gagal membayar denda tersebut, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri dua barang tersebut milik seorang lelaki berusia 41 tahun, dengan jumlah kerugian sebanyak RM2,700 di sebuah pasar raya di Putrajaya, pada 9.45 malam, 3 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa telah meletakkan telefon bimbitnya, dalam kereta sorong di laluan ke tandas sebuah pasar raya sambil menggendong anak.

Setelah isteri mangsa keluar dari tandas, dia mendapati kereta sorong itu hilang.

Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, tertuduh telah mengambil kereta sorong milik keluarga tersebut.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), CH Low memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Dia telah direman sejak empat hari lalu, jadi saya mohon mahkamah mengambil kira perkara tersebut sebelum menjatuhi hukuman," katanya.

Menurutnya, Mohamad Razie juga perlu menanggung ibu yang uzur, abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) dan dua adik yang masih belajar.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Zaharah Jaafar mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mendengar perkara itu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu, kemudiannya menangis dan merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara terhadapnya.

"Tolong Yang Arif, saya mengaku bersalah, mohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan, saya janji tidak akan ulangi kesalahan itu," katanya.