Imigresen serbu Pasar Borong Selangor tahan 35 PATI

Operasi dijalankan melibatkan 96 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti - Pemerdagangan Manusia serta PASTAK Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di Pasar Borong Selangor pada Rabu. (Gambar kecil: Ruslin Jusoh.)
Operasi dijalankan melibatkan 96 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti - Pemerdagangan Manusia serta PASTAK Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di Pasar Borong Selangor pada Rabu. (Gambar kecil: Ruslin Jusoh.)
A
A
A

SELAYANG - Seramai 35 pendatang asing tanpa izin(PATI) ditahan menerusi serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi dijalankan melibatkan 96 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti-Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.

Menurutnya, operasi dikenali sebagai Op Sapu itu dijalankan kira-kira jam 4.45 pagi.

Antara warga asing yang diperiksa menerusi serbuan di Pasar Borong Selangor di sini pada Rabu.
Antara warga asing yang diperiksa menerusi serbuan di Pasar Borong Selangor di sini pada Rabu.

"Seramai 95 warga asing telah diperiksa dengan 35 daripadanya PATI yang berumur diantara 21 hingga 52 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, 13 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Yemen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, kesemua mereka yang ditahan dipercayai bekerja di pasar borong terbabit sebagai pekerja am.

"Semasa serbuan dilakukan, pasukan operasi berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri dari kepungan.

"Operasi turut berdepan kesukaran dengan cuaca hujan pada pagi tersebut dan keadaan gelap menyebabkan ada PATI yang berjaya meloloskan diri.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di Pasar Borong tersebut tanpa Pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.