Rafidah dianugerah ijazah kehormat pentadbiran perniagaan

Rafidah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada CUCMS pada majlis Konvokesyen berkenaan hari ini. - Foto Bernama
Rafidah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada CUCMS pada majlis Konvokesyen berkenaan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Fakulti Sains Perubatan Universiti Cyberjaya (CUCMS) hari ini menganugerah Ijazah kehormat Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan kepada Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Anugerah itu bagi mengiktiraf semangat, komitmen dan dedikasi Rafidah yang paling lama berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

Pro Canselor CUCMS Tan Sri Dr R Palan menyampaikan anugerah itu kepada Rafidah dalam majlis konvokesyen khas di universiti itu.

Dalam ucapan penerimaannya, Rafidah, yang juga Pengerusi AirAsia X Berhad, berkata beliau berbesar hati dan berterima kasih atas anugerah itu yang mengiktiraf sumbangannya kepada ekonomi serta pembangunan negara walaupun selepas beliau bersara.

"Ia amat menggembirakan dan menyentuh hati nurani saya. Saya sentiasa inginkan supaya diingati dan dihargai sebagai seorang yang telah membantu negara ini untuk terus maju. Saya bukanlah orang yang boleh melakukan apa saja secara bersendirian dalam kedudukan saya ketika itu. Untuk mencapai kejayaan, saya mempunyai sebuah pasukan yang sangat berdedikasi, sama-sama berfikir dan mempunyai semangat serta komitmen seperti saya untuk melaksanakan tanggungjawab saya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Rafidah turut menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk memasukkan mesej yang komprehensif tentang perpaduan nasional, serta integrasi sosial dan budaya dalam sistem pendidikan, yang menurutnya, amat penting untuk mengekalkan sebuah masyarakat yang harmoni dan berfungsi.

"Pendidikan merentas semua lapisan masyarakat. Integrasi adalah bahagian yang hilang daripada sistem pendidikan kita. Sebab itulah hari ini kita lihat hasilnya apabila rakyat tidak menganggapkan diri mereka sebenar-benarnya rakyat Malaysia. Mereka menggunakan bangsa dan agama untuk mengasingkan diri dalam mainan politik serta kepentingan diri.

"Maka, sudah tiba masanya sistem pendidikan kita memasukkan input dan ceramah tentang integrasi serta sosio budaya yang akan memberi daya tahan kepada negara di masa depan. Kita tidak boleh menjadikan pendidikan sebagai 'politik bola sepak takraw'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai ekonomi negara, Rafidah, yang terkenal dengan panggilan 'Iron Lady', berkata pelabur asing melihat bahawa mereka mempunyai harapan dan peluang di Malaysia di bawah kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

"Ini adalah satu petunjuk terdapat perubahan bahawa pelabur tidak perlu berhati-hati dan berwaspada. Itu adalah harapan pelabur sama ada tempatan mahu pun asing. jadi, kerajaan perlu memastikan semua proses membuat keputusan dan prosedur adalah selaras dengan harapan mereka.

"Mesti tiada sebarang kelewatan, kerenah birokrasi dan tuntutan serta kriteria tidak masuk akal kepada pelabur. Misalnya, setiap orang di dunia menyediakan A B C D untuk menarik pelabur, tetapi kami (Malaysia) hanya boleh menyediakan A B C untuk menarik mereka. Justeru, semoga anda berjaya," katanya. - Bernama