Islam sebagai agama Persekutuan

A
A
A

BEBERAPA hari lagi akan tiba bulan Ramadan. Al-Quran diturunkan dalam bulan itu yang menjadi petunjuk sekalian alam, manakala al-Hadis menyempurnakan ajaran dalam al-Quran.

Dalam keadaan apa sekalipun umat Islam wajib mencari penyelesaian bersandarkan al-Quran dan al-Hadis.

Al-Quran menggariskan batas sempadan di antara yang halal dan haram. Tindakan yang boleh dilakukan dan dilarang. Al-Quran juga mengajar segala bentuk ilmu dan merupakan manual hidup yang paling sempurna dan lengkap, bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam.

Al-Quran sebenarnya memiliki pelbagai sifat yang menarik. Antaranya ialah cahaya (nur) seperti surah Al Tagabun ayat 8, petunjuk (huda) dalam surah Al Baqarah ayat 2, rahmat (rahmah) surah Al A’raf ayat 203, penyembuh (shifa’) surah Yunus ayat 57, pembawa perkhabaran gembira (basher) surah Al Fushilat ayat 4.

Pemberi peringatan (nadzir) seperti dalam surah Al Furqan ayat 1, penerangan (mau’izah) surah Aali Imran ayat 138, keberkatan (mubarak) surah Al Anbiyak ayat 50 dan nyata (mubin) surah Al Naml ayat 1.

Kesempurnaan al-Quran boleh dilihat dalam surah al-Baqarah yang menyatakan tidak ada sebarang syak pada al-Quran dan menjadi petunjuk kepada orang bertakwa. Namun sekiranya al-Quran itu diabaikan amaran yang diberikan amatlah dahsyat.

Persoalan sekarang apakah Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi al-Quran? Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri adalah undang-undang tertinggi negara.

Jika terdapat sebarang pertentangan antara perlembagaan dengan undang-undang lain, perlembagaan akan mengatasi dan undang-undang itu diisytiharkan tidak sah setakat mana ia bertentangan. Oleh itu sering dibahaskan bahawa Perkara 4 tersebut menghalang pelaksanaan undang-undang Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-sunnah.

Artikel Berkaitan:

Saya amat tidak bersetuju dengan proposisi sebegini. Ini kerana ketinggian Perlembagaan Persekutuan menurut Perkara 4 memang tidak dapat dinafikan. Namun Perkara 4 sebenarnya mengangkat keseluruhan peruntukan perlembagaan itu sendiri termasuklah Perkara 3 yang disebut terlebih dahulu daripada Perkara 4.

Perkara 3 memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan. Oleh kerana Islam ialah agama bagi Persekutuan, sebarang perkara yang tidak selari dengan agama bagi Persekutuan itu hendaklah dianggap tidak berperlembagaan dan melanggar perlembagaan itu sendiri.

Rakyat pula sering dimomok dengan idea bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Bagi saya adalah menjadi suatu kesilapan besar jika kita mengatakan Islam adalah agama rasmi kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan sedemikian. Kehidupan

Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam adalah agama bagi Persekutuan bukan agama rasmi Persekutuan. Dalam hal tersebut, Islam tidak hanya dipraktikkan dalam majlis rasmi, tetapi ia wajib diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian, sama ada bersifat rasmi atau sebaliknya.

Ketinggian agama Islam dikukuhkan lagi dengan Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Jadual Keempat adalah sumpah Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta. Yang di-Pertuan Agong bersumpah dengan lafaz “wallahi wabillahi wa tallahi”. Kandungan sumpah tersebut antara lain adalah Yang di-Pertuan Agong akan memelihara agama Islam pada setiap masa.

Kesimpulannya, saya mengatakan bahawa jika interpretasi perlembagaan dibuat sebagaimana yang dibincangkan di atas, sudah tentu ruang dan peluang al-Quran dan al-Sunnah diletakkan sebagai sumber utama perundangan amatlah besar tanpa perlu meminda perlembagaan yang ada ataupun menggubal perlembagaan baharu.

Dalam senario politik semasa, sebarang tindakan untuk meminda perlembagaan bukanlah alternatif yang mudah untuk dilakukan.

Sudah-sudahlah pertikaian antara peguasa dan raja. Pihak kerajaan hendaklah memikirkan tentang kemajuan negara bukan hanya bercakap mengenai orang lain. Ingatlah kata dasar ‘kerajaan’ itu daripada kalimah ‘raja’, oleh itu kerajaan dan raja hendaklah saling melengkapi. Rakyat juga berhak mengadu kepada raja tentang dasar kerajaan yang tidak disenangi.

Sempena Ramadan ini marilah kita memperbanyakkan bacaan al-Quran serta berdoa dan berusaha agar al-Quran diletakkan di tempatnya yang sebenar. Ketinggian al-Quran sebagai sumber perundangan sebenarnya secara tersirat telah pun diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia