Terengganu Inc sumbang RM45,000 rintis program UAV di sekolah

Burhanuddin (tiga dari kiri) bersama Satiful Bahri (dua dari kiri) dan Tengku Farok (kiri) ketika hadir pada Program TI-BSas Aeronautics UAV In-School di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu pada Rabu.
Burhanuddin (tiga dari kiri) bersama Satiful Bahri (dua dari kiri) dan Tengku Farok (kiri) ketika hadir pada Program TI-BSas Aeronautics UAV In-School di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat pelaburan induk strategik Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc.) menyumbang sebanyak RM45,000 bagi merintis program pendidikan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) pertama di negeri tersebut.

Program TI-BSas Aeronautics UAV In-School di bawah program pendidikan aeroangkasa itu akan dijalankan selama empat tahun bermula tahun ini sehingga 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di Marang.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi berkata, sokongan kewangan secara 'one off' diberikan bagi meningkatkan prestasi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di samping mengembangkan kemahiran dalam revolusi industri 4.0 (IR4.0).

"Pelaksanaan program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini merupakan langkah penting bagi memberikan hala tuju kepada pelajar-pelajar khususnya dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka.

"Mereka semua berpotensi untuk berkecimpung dalam bidang profesional dan meneroka ruang pekerjaan dengan pendapatan tinggi yang meluas dalam industri aeroangkasa," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Burhanuddin berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu pihak sekolah mencapai objektif serta merealisasikan aktiviti dan pengisian sebagaimana dirangka di dalam program berkenaan.

Sementara itu, Guru Penasihat Bsas Aeuronautics, Badrul Hisyam Zakaria berkata, program itu telah dirangka bersama Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) bagi memberi pendedahan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan industri UAV.

"Pelajar yang dipilih untuk sertai program ini akan belajar berkaitan teori, 'safety and regulations', reka bantuk UAV sebelum mereka membina sendiri daripada formula dan 'design' yang telah dibuat.

"Selepas hasil ciptaan itu berfungsi sepenuhnya, mereka akan menyertai beberapa pertandingan yang merupakan antara pendedahan yang akan diberikan kepada para pelajar.

"Selain itu, mereka juga akan dibawa untuk terlibat dalam operasi sebenar industri UAV ini," ujarnya.

Jelas Badrul Hisyam, pelajar terlibat juga memiliki peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang tersebut selepas mereka menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.