Lelaki curi 1,500 keping kad Pokemon dicekup polis

Polis berkata kejadian rompakan kad Pokemon di Tokyo berpunca daripada harga yang melambung tinggi di pasaran. - Agensi
Polis berkata kejadian rompakan kad Pokemon di Tokyo berpunca daripada harga yang melambung tinggi di pasaran. - Agensi
A
A
A

TOKYO - Polis Jepun menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang disyaki mencuri kira-kira 1,500 keping kad Pokemon di sebuah kedai di daerah Akihabara, Tokyo.

Menurut penyiasat, Masaki Omori dari Urasoe, Okinawa mengaku melakukan perbuatan tersebut atas arahan daripada seorang individu yang dikenali di Twitter.

Ia adalah kes terbaharu yang dikaitkan dengan beberapa kejadian rompakan kad Pokemon di seluruh Tokyo susulan harga kad terpakai dan jarang ditemui melambung tinggi di pasaran.

"Suspek akan diberikan ganjaran wang sekiranya berjaya membawa lari kesemua kad Pokemon tersebut.

"Tetapi malangnya suspek tidak menerima sebarang bayaran seperti yang dijanjikan," menurut kenyataan polis.

Tambah kenyataan itu, kes berkenaan dianggap 'yami baito' iaitu pekerjaan sambilan yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah.

Yami baito adalah istilah di mana kumpulan penjenayah mengeksploitasi individu terdesak mahu mendapatkan wang.

Tawaran yami baito biasanya disebarkan di media sosial dan mendapat sambutan sejak negara Matahari Terbit itu dilanda pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai individu kehilangan punca pendapatan.

Omori didakwa memecah masuk sebuah bangunan komersial di Akihabara sekitar jam 5 pagi (waktu tempatan) pada 12 April lalu.

Pemuda itu memberitahu dia mengikut arahan yang diberikan kepadanya.

"Dia terbang dari Okinawa sehari sebelum rompakan dan menyewa sebuah kereta di Ibaraki.

"Selepas itu dia menerima peralatan termasuk sarung tangan daripada seorang lelaki yang menunggu di kedai runcit di pinggir Tokyo.

"Omori menyerahkan kesemua kad Pokemon termasuk sekeping kad yang bernilai 160,000 yen (RM5,277) kepada lelaki itu selepas selesai melaksanakan tugasnya," kata penyiasat.

Nilai keseluruhan kad yang dibawa lari Omori dianggarkan berjumlah 1.15 juta yen (RM37,931).

Pokemon ialah siri permainan video yang dibangunkan oleh Game Freak dan diterbitkan oleh syarikat Nintendo berdasarkan siri anime televisyen popular di kebanyakan negara di dunia.

Kad-kad Pokemon terutamanya yang jarang ditemui boleh dijual dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Tahun lalu, sekeping kad promosi Pokemon, Pikachu Illustrator Holo dari tahun 1998 dilelong pada harga AS$900,000 (RM4.15 juta) dalam satu acara lelongan di Amerika Syarikat (AS).

Nilai itu adalah termahal yang pernah dibayar untuk sekeping kad Pokemon. - Agensi