Lawan terbaik Harimau Malaya

Pan-gon (tengah) memantau sesi latihan pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. (Gambar kecil: Mohd Azraai)
Pan-gon (tengah) memantau sesi latihan pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. (Gambar kecil: Mohd Azraai)
A
A
A

HARIMAU Malaya akan berdepan lawan cukup berbeza pada aksi persahabatan kali ini kerana Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pasukan yang mempunyai kelebihan fizikal.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, ia satu pendedahan terbaik buat skuad bola sepak negara melihat sejauh mana mereka mampu berdepan dengan pasukan yang mempunyai fizikal lebih tegap.

"Ramai yang mempertikaikan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia umumkan kita akan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea kerana mahukan lawan di ranking yang jauh lebih baik.

"Namun, bagi saya, Papua New Guinea mungkin dari segi skil mereka tak banyak tapi mereka ada fizikal. Sama juga dengan Kepulauan Solomon yang berada di ranking lebih baik.

"Ini satu pendedahan yang baik untuk pasukan negara kerana sebelum ini kita selalu bermain dengan pasukan yang sama saiz dengan kita," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini, pengendali skuad negara Kim Pan-gon menafikan pasukan yang dijemput dalam perlawanan persahabatan kali ini sekadar tangkap muat, sebaliknya yakin aksi kali ini akan memberikan banyak pengalaman kepada para pemainnya.

Malah, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menaruh harapan tinggi mahu melihat pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas kedua-dua pasukan tersebut.

Sebagai rekod, Kepulauan Solomon berada di ranking ke-134 dunia, Papua New Guinea ranking ke-159 manakala Malaysia pada kedudukan 138.

Dalam pada itu, Mohd Azraai juga yakin pasukan negara akan dapat meraih keputusan positif dalam kedua-dua perlawanan itu berdasarkan kualiti pemain yang dikumpul oleh Pan-gon.

"Apabila Pan-gon meletakkan sasaran mahu menang, maka dia sebagai jurulatih dapat menilai bahawa pasukan mampu lakukannya walaupun akan berdepan pasukan di ranking lebih baik seperti Kepulauan Solomon.

"Pan-gon juga dapat mengumpulkan pemain tempatan dan naturalisasi yang saya sifatkan antara yang menyerlah dalam saingan liga ketika ini.

"Seperti pemain naturalisasi Paulo Josue dan Lee Tuck, ia adalah pilihan tepat untuk memanggil mereka kerana pengaruh mereka di atas padang sangat menyerlah," katanya.

Kepulauan Solomon mampu dedah kelemahan Harimau Malaya

Sementara itu menurut laporan Bernama, aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon pada Rabu memberi cabaran berbeza dan pengalaman baharu buat Malaysia yang berhasrat mengekalkan momentum kemenangan yang telah dibina.

Pertembungan dijadual berlangsung di gelanggang keramat Terengganu FC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus itu merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan.

Tumpuan ketika ini terarah kepada pengendali pasukan negara Kim Pan Gon dan pendekatan taktikal bakal digunakan jurulatih dari Korea Selatan itu dalam usahanya mencatat kemenangan ke atas musuh baharu yang tidak kurang hebatnya serta memiliki kelebihan tersendiri.

Berdasarkan ranking dunia, Kepulauan Solomon kendalian jurulatih dari Sepanyol Felipe Vega-Arango berada di tangga ke-134 manakala pasukan negara di posisi ke-138 selepas meraih dua kemenangan pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Johor, Mac lepas.

Bagi siri aksi persahabatan kali ini, Vega-Arango membawa 23 pemain terdiri daripada gabungan bakat tempatan dan pemain beraksi di luar negara antaranya 'mesin gol' Gagame Feni, 24, yang meledak 16 gol dalam 29 perlawanan dan pemain profesional tunggal dalam pasukan Raphael Lea'i.

Pada usia 19 tahun, Lea'i yang menyarung jersi kelab Bosnia dan Herzegovina, FK Velez Mostar, sudah mencipta nama tersendiri sebagai bintang semakin meningkat di Kepulauan Solomon, malah dikenali kerana kemahiran teknikal dan kebolehan menjaringkan gol.

Menyertai Lea'i dalam skuad adalah dua pemain berpangkalan di luar negara - Ian Kalu selaku pemain pertahanan kelab New Zealand, Napier City Rovers dan Marlon Tahioa yang beraksi di bahagian tengah buat kelab Fiji, Suva FC.

Vega-Arango turut membariskan tiga muka baharu iaitu Clavin Ohasio, Ben Fox, dan Norman Ngafu yang kesemuanya beraksi bersama pasukan Marist FC dalam usahanya mencipta keputusan positif berdepan Malaysia buat julung kali sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah pasukan.

Kepulauan Solomon yang menerapkan permainan keras dan larian laju ketika ini berada dalam momentum yang baik selepas mencatat empat kemenangan dan seri sekali dalam lima perlawanan terakhir sejak September tahun lepas.

Cabaran bakal diberikan Kepulauan Solomon menyaksikan mereka berupaya menjadi lawan yang baik buat pasukan negara khususnya Pan Gon untuk membentuk skuad lebih mantap menjelang dua tugasan penting dalam masa terdekat.

Malaysia akan beraksi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini sebelum berentap bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024.

Selepas dua kemenangan di Johor, antara perkara perlu diperbaiki pasukan negara adalah keberkesanan jentera serangan dengan penyerang Negeri Sembilan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi diberikan peluang membuktikan kemampuan dimiliki selepas kembali menyertai skuad.

Shahrel Fikri antara pemain dipanggil semula Pan Gon, yang dalam masa sama turut mengekalkan 17 pemain ketika beraksi di Johor, selain menyenaraikan muka baharu iaitu pemain muda Selangor FC Muhamad Syahir Bashah.

Dalam lima perlawanan terakhir, Malaysia hanya tewas sekali kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Januari lepas.

Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan berada dalam prestasi baik tetapi di atas kertas, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan.

Malaysia seterusnya akan menentang Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Kuala Terengganu pada 20 Jun.