Kaki pancing maut bot terbalik

Bot nelayan tempatan yang membantu membawa mangsa ke jeti berhampiran.
Bot nelayan tempatan yang membantu membawa mangsa ke jeti berhampiran.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang maut manakala enam yang lain berjaya diselamatkan selepas bot pancing dinaiki terbalik berikutan dilanda ribut dalam kejadian awal pagi tadi.

Kejadian tersebut berlaku di perairan Pulau Tinggi, dekat Kota Tinggi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, Maritime Rescue Sub-Coordination Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 11.15 pagi tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang lalu di kawasan kejadian.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, bot nelayan tempatan yang lalu di kawasan itu telah bertindak menyelamatkan enam mangsa lelaki yang sedang terapung menggunakan jaket keselamatan.

"Manakala seorang mangsa dikenali sebagai Mustafa Harun telah meninggal dunia dipercayai berpunca daripada sesak nafas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sanifah berkata, terdahulu, kesemua mangsa berusia lingkungan 30 hingga 64 tahun ke laut untuk memancing sekitar jam 4.30 petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan selepas terapung menggunakan jaket keselamatan.
Mangsa yang berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan selepas terapung menggunakan jaket keselamatan.

"Maklumat daripada mangsa, bot telah dilanda ribut lebih kurang jam 2.15 pagi dan telah terbalik kira-kira jam 2.40 pagi.

"Akibat daripada keadaan cuaca yang sejuk, seorang daripada tujuh mangsa yang berusia 64 tahun mengalami kesesakan nafas ketika terapung dan meninggal dunia jam 4 pagi," katanya.

Beliau berkata, tekong bot nelayan tempatan dikenali sebagai Suhaimi Hamid telah menjumpai mangsa pada jam 7.30 pagi dan membawa ke jeti berhampiran.

"APMM memuji tindakan prihatin komuniti maritim setempat yang dapat menyelamatkan nyawa.

"Semua komuniti maritim dan keseluruhan masyarakat dinasihatkan untuk menitikberatkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut," katanya.

Sanifah berkata, persediaan sewajarnya seperti cakna mengenai ramalan cuaca dan pematuhan undang-undang dapat mengurangkan risiko kejadian tidak diingini daripada berlaku.