City tak boleh leka

Pemain City meraikan kejayaan menang trofi Liga Juara-Juara - Foto AFP
Pemain City meraikan kejayaan menang trofi Liga Juara-Juara - Foto AFP
A
A
A

ARSENE Wenger menasihatkan Manchester City untuk tidak berpuas hati selepas melengkapkan kejuaraan treble bersejarah memenangi Liga Juara-Juara di Istanbul pada Ahad.

Menurut Wenger, City seharusnya terus menambah baik pasukan dengan membeli pemain baharu sekiranya mahu mengekalkan penguasaan di liga domestik dan pentas tertinggi Eropah.

City memastikan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan Inter Milan 1-0 dalam perlawanan akhir sekali gus menyamai pencapaian pasukan Manchester United pada 1999 dengan memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA pada musim yang sama.

Guardiola telah membawa kejayaan yang tidak pernah dicapai City termasuk memenangi lima daripada enam gelaran Liga Perdana Inggeris.

"Saya berfikir apa yang akan dilakukan City selepas ini? Adakah mereka sedia dan bermotivasi untuk cabaran baharu?

"Atau adakah akan kekal dan terus membangunkan pasukan ini dengan pemain sedia ada. Mereka mungkin kehilangan pemain penting. Pasukan ini bukan pasukan lama tetapi tiada pemain muda.

"Selain Erling Haaland, yang kini berusia 22 tahun, semua pemain yang lain berusia antara 24 dan 32 tahun. Jadi dua atau tiga pemain baharu perlu bertukar. Mereka perlu mencari kualiti yang sama sekali lagi," katanya.