Bot nelayan langgar syarat ditahan

Bot nelayan tempatan ini ditahan APMM Terengganu kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, semalam.
Bot nelayan tempatan ini ditahan APMM Terengganu kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di lokasi 23 batu nautika Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah APPM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 7 petang itu telah menahan lima awak-awak warga tempatan termasuk tekong yang berusia antara 35 hingga 53 tahun.

"Bot berpendaftaran tempatan jenis kelas C itu ditahan oleh kapal Maritim KM Nusa yang sedang melakukan rondaan Ops Iman.

"Siasatan mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan melanggar syarat lesen yang dikeluarkan iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah kawasan tidak dibenarkan," katanya pada satu kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini.

Muhammad Suffi berkata, bot tersebut seterusnya di bawa ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 (b) 1985 Akta Perikanan kerana menangkap ikan di bawah kawasan yang dibenarkan mengikut syarat lesen.

"Jika disabitkan kesalahan, kesemuanya boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Susulan penahanan bot tersebut, APMM turut merampas hasil laut iaitu sotong dan ikan berbagai jenis yang dianggarkan hampir 1.5 tan serta 2,000 liter minyak diesel.

Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama yang melakukan sebarang salah laku dan menyalahguna lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

"Justeru itu kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara di talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) APMM Terengganu," katanya.