'Mahu kejar trip, komisen tinggi'

Operasi Lebih Muatan di sekitar Selangor, Jumaat lalu. Foto: JPJ Selangor
Operasi Lebih Muatan di sekitar Selangor, Jumaat lalu. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Mahu kejar trip dan komisen tinggi antara alasan yang diberi pemandu lori selepas ditahan atas kesalahan lebih muatan.

Itu antara yang dikesan menerusi Operasi Khas Lebih Muatan yang dilaksanakan secara ronda oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sekitar negeri itu pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Negeri Selangor, Mazlini Yusof dibantu sembilan pegawainya itu telah mengeluarkan 18 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi ini dijalankan di sekitar Cheras, Batu 9, Meru, Kapar dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Antara kenderaan berat yang diperiksa menerusi Operasi Lebih Muatan di sekitar Selangor, Jumaat lalu. Foto: JPJ Selangor
Antara kenderaan berat yang diperiksa menerusi Operasi Lebih Muatan di sekitar Selangor, Jumaat lalu. Foto: JPJ Selangor

"Terdapat empat kesalahan utama yang dikesan iaitu lebih muatan, tiada lesen memandu, tiada lesen perdagangan (GDL) dan cukai jalan tamat tempoh.

"Antara alasan yang diberi pemandu lori kerana lebihan muatan ialah kejar trip, arahan 'tauke' dan komisen rendah jika muatan yang dibawa rata," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

Katanya, sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh salurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan.