Bakal calon pilihan raya didakwa kerana tunggang keldai

Sharma mendakwa ia adalah tindakan simbolik untuk menggambarkan penderitaan rakyat.
Sharma mendakwa ia adalah tindakan simbolik untuk menggambarkan penderitaan rakyat.
A
A
A

NEW DELHI - INDIA. Polis India semalam mendakwa bakal calon pilihan raya kerana melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas beliau menunggang keldai ketika memfailkan permohonannya untuk bertanding.

Mani Bhushan Sharma menunggang keldai tersebut di luar pejabat pilihan raya tempatan di bandar Jehanabad di Bihar selepas mengemukakan kertas pencalonannya pada Isnin lalu.

"Kami memfailkan kes ke atas ahli politik terbabit," kata Ketua Polis Jehanabad, Shree Maneesh.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut tentang pendakwaan yang dibuat terhadap ahli politik itu.

Dalam satu kenyataan, Sharma bagaimanapun mempertahankan tindakannya yang didakwa sebagai simbolik untuk menggambarkan penderitaan rakyat biasa yang disebabkan oleh ahli politik.

"Rakyat biasa gigih berusaha membina masyarakat dan negara lebih baik seperti 'keldai'. Tidak seperti ahli politik yang bekerja untuk diri mereka sendiri. Kita bekerja keras seperti keldai," jelasnya.

Difahamkan, Sharma gagal untuk bertanding dalam empat pilihan raya sebelum ini dan permohonannya pada kali ini sekali lagi ditolak kerana terdapat percanggahan maklumat dalam dokumen.

Jika disabit bersalah di bawah undang-undang kekejaman terhadap haiwan, pelaku boleh didenda atau dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

Bulan lalu, pilihan raya umum India berlangsung secara berperingkat selama enam minggu dan keputusannya dijangka diumumkan pada 23 Mei ini. Hampir 900 juta menunaikan tanggungjawab dalam pemilihan kali ini yang menyaksikan ribuan calon bertanding. - AFP