MKT terbuka terima kembali ahli digantung, dipecat - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Zahid membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersifat terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat ataupun digantung oleh parti.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam perkara tersebut, UMNO mempunyai Perlembagaan dan juga peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menerima semula ahli yang dipecat atau digantung.

“Soal disiplin parti, kita tahu bahawa MKT dan Lembaga Disiplin melakukan tugas mereka secara profesional. Mereka sangat bersikap terbuka dalam tindakan ini.

“Kami MKT sentiasa juga bersikap terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin,” katanya ketika Ucapan Penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Jumaat mendedahkan kepada media bahawa beliau telah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun sehingga kini masih dipandang sepi.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya hukuman penggantungan itu mahu dibuat pada tahun lepas, namun tindakan tersebut ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lalu.

Tajuddin turut mengakui bahawa beliau masih setia dan mengharapkan parti menerima rayuan tersebut agar beliau dapat kembali menjadi ahli parti keramat Melayu itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sekiranya seseorang tersebut memang benar-benar sayangkan parti, mereka tidak akan lantang bersuara menghentam parti meskipun digantung mahupun dipecat.

“Kalau benar-benar sayangkan parti, mereka harus akur. Apa yang pernah dilihatkan (seperti) Datuk Lokman Noor Adam (perlu) diikuti oleh mereka.

"Lokman Adam walaupun dipecat daripada parti, beliau tidak pernah menikam parti dari luar,” ujarnya.