UMNO umpama pohon besar, jangan dibunuh, ditebang: Mohamad

Mohamad membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamad membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan parti keramat itu sebagai pohon besar yang melindungi akar umbi dan kepimpinan.

Justeru beliau memohon agar ahli parti tidak membunuh atau menebang 'pohon’ besar itu yang pada hematnya turut memayungi masyarakat Melayu di negara ini.

"Mari kita tinggalkan benih untuk masa depan agar terus subur dan menjadi tempat mereka berlindung, pohon yang akan membesar, tempat anak cucu kita berlindung daripada hujan dan panas.

“Kalau berbuah, buahnya boleh dimakan bersama. Kalau hujan (atau) petir, di situlah mereka berteduh. Kalau panas, di situ juga mereka berteduh.

“Pokok besar ini, ramai yang makan buahnya, ramai yang sudah nikmati nikmatnya. Ramai juga yang sudah tidak memerlukan pokok ini. Tetapi janganlah yang telah menikmati hasilnya, kita nak bunuh dan tebang pokoknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad turut menasihatkan kepimpinan UMNO agar tidak berselisih faham antara satu sama lain.

“Elakkan berselisih faham dan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan orang.

“Rundingan jangan berselisih faham, muafakat jangan bercanggah. Muafakat itu punca sengketa dan sengketa itu punca celaka,” tegasnya.