Kes syariah disenarai dalam Dana Bantuan Guaman Selangor

V Ganabatirau
V Ganabatirau
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyenaraikan kes syariah dalam Dana Bantuan Guaman Selangor bagi membantu wanita golongan berpendapatan rendah (B40).

Exco Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja negeri, V Ganabatirau berkata, persetujuan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu.

Menurutnya, sebelum ini dana berkenaan hanya terbuka bagi kes kekeluargaan (sivil) dengan peruntukan asal sebanyak RM1 juta di pada 2022 dan kini ditambah menjadi RM2 juta pada tahun ini.

“Semalam, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kita bersetuju untuk memasukkan kes syariah dalam Dana Bantuan Guaman Selangor yang mana kita akan bekerjasama dengan Selangor Bar.

“Sebelum ini bantuan diberi kepada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah tetapi sekarang kita tingkatkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah turut boleh memohon dana ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ganabatirau yang juga Ahli Parlimen Klang menambah, subsidi bantuan guaman turut dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM1,500 sebelum ini dan beliau percaya tambahan itu dapat menarik minat lebih ramai peguam.

“Kita harap dengan bantuan guaman ini ia dapat memberi manfaat kepada individu yang benar-benar memerlukan bantuan berkaitan guaman.

“Ini juga merupakan bukti bahawa Kerajaan negeri Selangor amat bertanggungjawab dan ingin membantu individu terutama golongan wanita yang teraniaya,” katanya.

Selangor muncul negeri pertama menyediakan bantuan berkenaan dengan peruntukan RM1 juta menerusi penubuhan Dana Bantuan Guaman Selangor pada 24 Julai 2022.

Usaha tersebut dilaksanakan bagi menyelesaikan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam bagi memastikan masyarakat di negeri ini tidak ditindas dan terpinggir.