Pelajar autisme dapat 8A1B, mahu jadi sejarawan

Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak (tengah) menyampaikan sijil SPM kepada Muhammad Aziq Asri dari SMK Bukit Rangin.
Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak (tengah) menyampaikan sijil SPM kepada Muhammad Aziq Asri dari SMK Bukit Rangin.
A
A
A

KUANTAN - Calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, yang memperoleh keputusan cemerlang 8A1B bercita-cita untuk menjadi sejarawan.

Muhammad Aziq Asri,18, yang menghidap autisme dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin mengakui tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang sekali gus menjadi dirinya antara pelajar terbaik di Pahang.

"Saya gembira kerana pada percubaan SPM, saya hanya dapat 6A 2B 1C, tapi dengan sokongan cikgu dan rakan di sekolah, ia banyak membantu.

"Sebenarnya saya hanya fokus di dalam kelas dan jika tidak faham, saya akan bertanyakan kepada cikgu. Kelas tuisyen juga hanya di sekolah dan lebih banyak membuat latihan di rumah bermula petang hingga malam," katanya ketika ditemui pemberita majlis keputusan SPM 2022 Pahang di SMK Bukit Rangin pada Khamis.

Marlia (kanan) dan Asri (kiri) beri ciuman kepada Muhammad Aziq yang cemerlang dalam SPM dan antara pelajar terbaik di Pahang.
Marlia (kanan) dan Asri (kiri) beri ciuman kepada Muhammad Aziq yang cemerlang dalam SPM dan antara pelajar terbaik di Pahang.

Muhammad Aziq antara tiga calon CBPK SPM yang cemerlang selain Harith Zakwan Hazlan dari SMK Mengkarak, Bera yang memperoleh 8A dan Muhammad Mukhriz Mustafa dari SMK Karak Setia, Bentong (8A).

Anak bongsu daripada dua beradik itu mahu menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi mencapai cita-citanya itu.

Menurutnya, keputusan menyambung pengajian ke peringkat STPM dibuat adalah atas nasihat guru kaunselingnya sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah.

"Cita-cita saya hendak jadi ahli sejarah. Jadi saya berhasrat untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam selepas ini mengikut nasihat guru.

"Apa yang baik daripada ibu bapa atau guru saya akan ikuti asalkan cita-cita dan harapannya saya tercapai. Insha-ALLAH," jelasnya.

Dia yang menetap di Indera Mahkota 16 bersama ibu bapa, Asri Mohd Din, 54 dan Marlia Thaalmudin, 48, memberitahu mula minat Sejarah ketika di darjah empat dan memperoleh markah yang baik dalam Sejarah ketika peperiksaan tersebut.

“Sejak dari itu, saya suka membaca tentang Sejarah. Kemudian ketika di sekolah menengah, saya suka bermain permainan video tentang perang dan dari situ, saya mula minat mendalami sejarah tentang Perang Dunia,” ujarnya lagi

Sementara itu, Marlia tidak menjangkakan anak lelakinya itu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

"Saya tidak sangka kerana pada usia lima tahun, Aziq disahkan autisme kerana ketika itu

kami dapati dia tidak boleh bercakap.

"Namun, saya bersyukur kerana Aziq mampu untuk belajar dan memperoleh keputusan baik dalam pelajaran bersama rakannya di sekolah rendah dan menengah," ujarnya yang tidak menghantar ke sekolah pendidikan khas kerana dia boleh mengikut pembelajaran di sekolah harian.