Malaysia, Indonesia sepakat bentuk mekanisme selesai isu migran

Anwar bersama Jokowi ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan di Seri Perdana pada Khamis. - Foto: Bernama
Anwar bersama Jokowi ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan di Seri Perdana pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Indonesia sepakat membentuk satu mekanisme khusus bilateral bagi menyelesaikan isu migran melibatkan rakyat republik itu di negara ini.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana pada Khamis.

Menurutnya, beliau menghargai komitmen diberikan oleh Anwar bagi melindungi pekerja dari negara itu.

"Saya dan Anwar sepakat untuk membentuk mekanisme khusus kepada bilateral bagi menyelesaikan masalah migran Indonesia dan juga mendorong kewujudan segera pusat pembelajaran komuniti di Semenanjung," katanya menerusi sidang akhbar bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana sempena lawatan kerja dua hari ke Malaysia

Beliau berkata, warga Indonesia yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen harus dihantar pulang dengan segera.

"Sistem satu saluran juga harus dioptimumkan," ujarnya.

Joko Widodo yang dikenali sebagai Jokowi menegaskan Malaysia dan Indonesia juga seharusnya memperkukuh jalinan kerjasama bagi mengekang diskriminasi negara luar terhadap komoditi keluaran kedua-dua negara.

Sebelum itu, Jokowi dan Anwar menyaksikan pertukaran dokumen bagi enam instrumen yang dimeterai.

Dalam pada itu, Jokowi menyambut baik dengan penyelesaian rundingan berkaitan persempadanan Laut Sulawesi yang dapat diselesaikan hari ini.

"Selepas 18 tahun proses rundingan diadakan, Alhamdulillah hari ini ia dapat diselesaikan.

"Saya juga berharap rundingan perbatasan lain termasuk Pulau Sebatik juga dapat diselesaikan kelak.

"Harapnya, Perdana Menterinya masih Datuk Seri Anwar dan Presiden Indonesianya masih Jokowi," katanya.