Pereka grafik rugi RM18,569 ditipu pinjaman tidak wujud

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pereka grafik berputih mata hilang RM18,569 selepas dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman peribadi tidak wujud, April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian berlaku apabila mangsa tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang dicarinya melalui Facebook.

Menurutnya, mangsa yang berusia 30 tahun itu mengisi borang secara online dan menerima WhatsApp seorang lelaki yang dikenali sebagai Edwin.

"Mangsa kemudiannya bersetuju untuk meminjam RM14,000 yang mahu digunakan sebagai modal perniagaan namun dia diarahkan untuk membuat bayaran wang proses bagi mendapatkan pinjaman tersebut.

"Mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM18,560 secara berperingkat sebanyak sembilan kali ke tujuh akaun yang berbeza.

"Sehingga laporan dibuat, mangsa masih belum menerima wang pinjaman tersebut dan dia percaya dirinya telah ditipu," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, bagi kes berlainan Mohd Wazir berkata seorang penyambut tetamu kerugian RM3,950 ditipu rakan baharu yang dikenali melalui media sosial.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas mangsa mengenali suspek yang merupakan warganegara Itali telah menghantar satu barang kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menghantar barang kepada mangsa sebagai hadiah perkenalan iaitu telefon bimbit,barang kemas dan juga wang tunai berjumlah AS$15,000.

"Namun mangsa telah dihubungi oleh agen penghantar barang meminta mangsa membuat bayaran cukai sebanyak RM3,950 yang dikenakan ke atas barang tersebut pada 26 April lalu.

"Mangsa memasukkan duit tersebut melalui empat transaksi namun suspek memintanya memasukkan lagi RM8,500 untuk mengelakkan nama disenarai hitam namun mangsa enggan dan merasa tertipu," katanya

Tambahnya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.