SPRM pernah siasat, ambil fail di PTG - Saarani

Saarani (tengah) sempena majlis penyerahan lembu korban sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Saarani (tengah) sempena majlis penyerahan lembu korban sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Isu membabitkan tanah rizab Melayu di negeri ini pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, siasatan oleh badan bebas itu juga melibatkan beberapa dokumen terlibat yang diambil daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Dalam pengetahuan saya, beberapa laporan SPRM sudah dibuat sebelum ini. Jadi kalau ada laporan baru, terpulanglah kepada SPRM.

"Kita tak ada masalah, tidak ada benda yang nak kita sembunyikan, semua tertakluk kepada siasatan dibuat SPRM," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan lembu korban sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan SPRM dibuat Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berhubung isu pemecahan lot tanah rizab Melayu melibatkan kawasan seluas 647 hektar di Sitiawan.

Ketua Pesuruhjaya Pas itu mendakwa, berlaku pelanggaran dalam proses penukaran nama kepada bukan Melayu.

Difahamkan keseluruhan tanah berkenaan dipecahkan kepada 317 lot telah dijual kepada bukan Melayu dengan harga RM412,800 setiap lot.

Mengulas lanjut, Saarani sedia memberi kerjasama sepenuhnya membantu siasatan kes tersebut sekiranya dipanggil SPRM.

"Tetapi saya nak ingatkan yang ini bukanlah kali pertama laporan dibuat, sudah berkali-kali.

"Cuma saya harap kepada pihak yang buat laporan, mereka kena percaya sepenuhnya kepada siasatan SPRM," katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri menerima sumbangan 400 ekor lembu daripada lima GLC membabitkan nilai keseluruhan RM2.92 juta.

GLC tersebut ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Saarani berkata, setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN pembangkang akan menerima lima ekor lembu korban.

"Pelaksanaan ibadah korban juga perlu mematuhi peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.