Al Ittihad sambar Benzema

Benzema (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pemain Al-Ittihad. - Foto AFP
Benzema (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pemain Al-Ittihad. - Foto AFP
A
A
A

PEMENANG BALLON d'Or, Karim Benzema menjadi pemain terbaharu yang bermain di Arab Saudi apabila dia menyertai Al Ittihad selepas meninggalkan Real Madrid.

Benzema yang melakar kejayaan luar biasa bersama Real dalam tempoh 14 tahun menyertai juara Arab Saudi itu dalam perjanjian tiga tahun dan akan memakai jersi nombor sembilan.

"Saya teruja untuk mengharungi cabaran baharu bola sepak di negara berbeza. Saya bertuah kerana mencapai perkara yang menakjubkan dalam karier saya dan mencapai segala yang saya mampu di Sepanyol dan Eropah.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk cabaran dan projek baharu. Saya tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan baharu saya dan bersama-sama mereka membantu membawa kelab yang menakjubkan ini dan permainan di Arab Saudi ke tahap baharu," katanya.

Benzema mengikut jejak bekas rakan sepasukannya di Real, Cristiano Ronaldo ke Arab Saudi selepas penyerang Portugal tersebut menandatangani kontrak lumayan selama 2 tahun.

Setelah menyertai Real pada 2009 dari Olympique Lyonnais, Benzema menjadi tonggak utama serangan kelab itu selepas Ronaldo berpindah ke Juventus pada 2018 dan memenangi Liga Juara-Juara lima kali dan empat gelaran La Liga.

Dia mengharungi musim terbaiknya bersama Real pada kempen 2021-22 apabila menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan untuk membawa kelab itu merangkul kejuaraan Eropah ke-14 dan juga mahkota La Liga.

Pemain berusia 35 tahun itu memenangi Ballon d'Or sebagai pemain lelaki terbaik dunia tahun lalu dan kelihatan bersedia untuk kekal bersama kelab Sepanyol itu setahun lagi selepas musim 2022-23 dihimpit kecederaan dan terlepas menyertai skuad Perancis di Piala Dunia Qatar 2022.

Namun, tawaran dikatakan bernilai lebih 100 juta euro (RM492.77) daripada Arab Saudi membuatkan dia memikirkan semula keputusannya untuk kekal di Sepanyol.

Bulan lalu, Al Ittihad muncul juara Liga Profesional Saudi buat kali pertama sejak 2009.