'Tak ada kerja nak berdebat' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri enggan layan cabaran Ahmad Said untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan kepada sebuah NGO.
Ahmad Samsuri enggan layan cabaran Ahmad Said untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan kepada sebuah NGO.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan menyahut cabaran Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, tindakan sama (enggan berdebat) juga pernah dilakukan ketika BN memerintah Terengganu.

"Buat apa saya nak ikut 'game plan' dia. Suatu masa dulu pada 2012-2014 pernah pembangkang ketika itu (Pas) ajak dia berdebat tetapi dia nyatakan tak bersedia berdebat.

"Jadi oleh kerana dia jadi pembangkang ketika ini sudah tentulah dia buat gesaan itu. Jadi tak ada kerja lah saya nk berdebat dengan dia," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urusa (SLU) Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 bersama kerajaan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, pada Selasa.

Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan memberitahu beliau telah memberikan jawapan ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, beliau juga bersedia untuk bekerjasama dan memberi keterangan secara rasmi kepada mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.

Sabtu lalu, Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu mencabar Ahmad Samsuri untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan yang didakwa dijual kepada sebuah NGO pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa hartanah.

Ahmad mencabar pemimpin utama negeri itu untuk berhujah bagi membuktikan tindakan yang dilakukan itu tidak menyalahi undang-undang.

Menurut Ahmad, isu mengenai penjualan tanah itu juga telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan Pas Terengganu didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, penjualan tanah tanah kerajaan negeri bernilai RM29.3 juta kepada sebuah NGO itu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu.