Empat atlet olahraga dibenarkan kibar cabaran di APG Kemboja 2023

Kontinjen Malaysia di APG Kemboja 2023.
Kontinjen Malaysia di APG Kemboja 2023.
A
A
A

EMPAT atlet olahraga dibenarkan menyertai temasya Sukan Para Asean (APG) Kemboja 2023 menerusi penggabungan acara yang disertai mereka pada temasya dwitahunan yang berlangsung di Phnom Penh hingga Jumaat ini.

Perkara itu disahkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG Kemboja 2023, Noor Syahieda Mat Shah, hari ini selepas hasil perbincangan bersama kesemua negara yang terlibat kelmarin bagi menentukan sama ada acara itu tetap berlangsung melalui gabungan kelas atau mencukupkan penyertaan.

“Melalui Mesyuarat Pengurus Pasukan Para Olahraga itu, kebanyakan negara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam telah membangkitkan isu yang sama kerana ramai atlet mereka tidak dapat beraksi disebabkan acara tidak disenaraikan.

“.... dan hasil perbincangan mendapati kesemua atlet itu dibenarkan bertanding mengikut acara yang digabungkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Empat atlet negara yang terlibat ialah Mohamad Aliff Mohamad Awi menerusi acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual); Ahmad Fizzi Rosni (100 meter (m)/ T36/37 - celebral palsy); Badrul Hisam Musa (Lontar Peluru/ lempar cakera & lempar lembing T12 - kecacatan intelektual) dan Taufik Hidayat Nasirdin acara lontar peluru/ lempar cakera F34 - celebral palsy).

Terdahulu, Mohamad Aliff unggul meraih emas setelah merekodkan balingan sejauh 13.86 meter (m) bagi acara lontar peluru F20 manakala Ahmad Fizzi meraih perak 100m T36/T37 hari ini di Stadium Morodok Techo.

Badrul Hisam pula dijangka beraksi esok manakala jadual Taufik Hidayat akan diumumkan kemudian.

Pada Ahad, sebuah portal berita melaporkan atlet olahraga itu sekadar 'penumpang' apabila tidak dapat menyertai acara kerana kekurangan penyertaan daripada negara lain. - Bernama