‘Saya mahu fokus kerjaya di luar politik’ - Shahril Hamdan

Shahril
Shahril
A
A
A

SHAH ALAM - “Setakat ini pendirian saya untuk tidak bertindak tergesa-gesa dan mahu fokus kepada kehidupan dan kerjaya di luar politik,” tegas bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Menurut Shahril Sufian, beliau mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja keputusan yang dikehendaki setelah digantung oleh UMNO.

“Setakat ini saya tidak mempunyai niat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri, apatah lagi memasuki mana-mana parti yang lain.

“Saya mengharapkan bahawa ada pilihan untuk saya pada esok hari dalam membuat keputusan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya menerusi Program Keluar Sekejap, pada Isnin.

Shahril Sufian (kanan) ketika dalam Program Podcast Keluar Sekejap pada Isnin.
Shahril Sufian (kanan) ketika dalam Program Podcast Keluar Sekejap pada Isnin.



UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Shahril Sufian selama enam tahun.

Sementara itu, Shahril Sufian menegaskan bahawa beliau enggan hidup berdasarkan tanggapan dan harapan daripada orang lain.

“Saya berharap dapat melakukan perkara seperti yang diperkatakan oleh Khairy untuk melakukan apa sahaja dengan cara tersendiri.

“Saya mahu melakukan sesuatu yang betul. Dalam kes ini saya memerlukan masa supaya dapat memilih perkara terbaik untuk diri sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang terbuka dan yakin dengan kemampuan diri.

Beritahu Shahril Sufian, ada pemimpin yang bertindak mengongkong apabila melihat seseorang itu bertindak berbeza kerana dianggap sebagai ancaman namun bekas Ahli Parlimen Rembau itu tidak memaparkan sikap sedemikian.