Bunyi pelik disangka kucing, rupanya harimau kumbang

Rakaman CCTV mengenai kehadiran haiwan tersebut.
Rakaman CCTV mengenai kehadiran haiwan tersebut.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pesara tentera tidak menyangka bunyi pelik yang didengarinya di sebuah kandang ternakan bersebelahan rumahnya di Kampung Gachong dekat Inas di sini rupanya adalah daripada seekor harimau kumbang.

Hamdan Alias, 60, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.20 petang, Selasa lalu ketika dia hendak mengambil motosikal yang diparkir di kandang berkenaan.

Menurutnya, sebelum itu dia pulang ke rumah kerana hendak memberi makan ternakan selain membersihkan diri sebelum bergerak semula ke kedai runcit yang diusahakan oleh isterinya.

"Semasa menghala ke motosikal, saya terdengar bunyi pelik dan beranggapan bunyi itu datangnya dari kucing peliharaan saya, namun sangkaan saya meleset sebaik saya menoleh ke belakang muncul seekor harimau berwarna hitam.

Hamdan menunjukkan lokasi haiwan itu muncul.
Hamdan menunjukkan lokasi haiwan itu muncul.

"Ketika itu bulu roma pun dah naik, terkejut, nak melarikan diri sukar sebab kaki saya tidak kuat. Bagaimanapun saya bersyukur kerana haiwan itu tidak menyerang sebaliknya melarikan diri ke arah hutan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Khamis.

Hamdan berkata, ini merupakan kejadian pertama berlaku sepanjang dia menetap di sini sejak pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 16 tahun lalu.

Menurutnya, laporan mengenai kehadiran haiwan itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut pada Rabu.

Hamdan menunjukkan tapak kaki haiwan itu.
Hamdan menunjukkan tapak kaki haiwan itu.

Aksi haiwan itu yang menerjah ke kediaman Hamdan juga berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya.

Dalam video berdurasi 0:51 minit itu memaparkan harimau kumbang tersebut turun dari bukit dan berselindung di sebalik kandang ternakan.

Bagaimanapun, haiwan itu melarikan diri dengan memanjat semula bukit yang berketinggian lebih tiga meter selepas ternampak warga emas berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala di lokasi.