PRN: Rakyat Selangor lebih terbela jika undi PN - Noh

Noh
Noh
A
A
A

KUALA SELANGOR - Rakyat di negeri Selangor dinasihatkan bijak membuat keputusan dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bagi memastikan nasib mereka terus diberi pembelaan sewajarnya.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sudah tentu pembelaan sewajarnya diberikan kepada penjaja, pesawah, nelayan dan semua kelompok masyarakat sekiranya PN diberi mandat mentadbir negeri ini.

Mengambil contoh di Tanjong Karang, Noh memberitahu, terdapat kira-kira 500 peneroka kelapa sawit di Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya di sini berdepan tindakan pengusiran daripada kerajaan negeri.

"Mereka bukan teroka secara haram, sebaliknya sudah 40 tahun diberi kebenaran dan bayar TOL (lesen pendudukan sementara), tiba-tiba kerajaan negeri beri kepada satu syarikat," katanya ketika berucap semasa Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang di sini pada malam Ahad.

Noh berkata, perkara ini antara yang diperjuangkan pada PRN Selangor bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan sekiranya memberi sokongan kepada PN.

"Saya bisik dengan (Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan beliau minta saya umumkan malam ini kalau PN menang PRN Selangor, kita janji tak akan usir peneroka di sana," jelasnya.

Beliau memberitahu, PN juga diminta mengkaji semula isu caj parkir kenderaan dikenakan kepada penduduk di Tanjong Karang yang majoritinya dalam kalangan pesawah dan petani.

"Saya sudah banyak kali perjuangkan isu parkir di Tanjong Karang kerana mereka kadang-kadang hendak beli barang kena saman parkir.

"Kalau dekat bandar besar tak apalah dikenakan (parkir), tetapi ini di Tanjong Karang sebuah kawasan luar bandar pun hendak dikenakan caj parkir lebih-lebih lagi pesawah ketika ini hasil pendapatan mereka merosot," tegas beliau.

Ujar Noh, PN juga perlu menjaga kebajikan penjaja kecil di tepi jalan dan memberi peluang mereka untuk terus berniaga bagi menjana pendapatan.

"Saya bukan sahaja memperjuangkan isu penjaja di Tanjong Karang, malah di Sungai Buloh, Puchong pun saya turun kerana jiwa saya nak tolong penjaja kecil yang ditindas oleh kerajaan Selangor," tambah beliau.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ucapan beliau semasa program itu memberitahu, perkara yang dibangkitkan Noh itu mudah dilaksanakan jika PN menjadi kerajaan negeri.

"Takkanlah orang India nak duduk di tanah sendiri yang dah dibina 40 tahun tak boleh?.

"(PN) tonggaknya adalah Melayu yang bersih, bertanggungjawab, berintegriti dan kita adil kepada kaum Cina, India dan rakyat Malaysia supaya negeri Selangor aman dan makmur," ujarnya.

Jelas beliau, perkara itu pernah diusahakan beliau di Kampung Indian Settlement, Batu Cave semasa menjadi wakil rakyat pada tahun 2008.

"Antara perkara pertama saya lakukan ialah memberikan hak milik tanah kekal kepada seluruh keluarga di Kampung Indian Settlement.

"Soal tanah ini bukan hak kita, kerajaan hanya menguruskan sahaja dan kita beri kepada rakyat dan mereka tak payah meminta-minta kerana kami tidak mahu rakyat menjadi pengemis kepada kerajaan, sebaliknya ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk membela rakyat negeri Selangor," jelas beliau.