Formula berkesan tarik penonton

Keratan laporan Sinar Ahad mengenai kejayaan diraih Yusof Haslam bersama anak-anaknya.
Keratan laporan Sinar Ahad mengenai kejayaan diraih Yusof Haslam bersama anak-anaknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kualiti dan kandungan sesebuah filem yang diketengahkan sememangnya menjadi keutamaan dalam usaha menarik kepercayaan orang ramai menonton di pawagam.

Pun begitu, ia belum cukup untuk menarik perhatian khalayak jika tidak disertai dengan strategi mahupun formula tertentu bagi membawa karya tersebut ke depan agar mampu dilihat lebih ramai orang.

Perkara itu diakui bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyifatkan kejayaan filem-filem arahan Datuk Yusof Haslam dan anak-anaknya, Syamsul serta Syafiq turut dipengaruhi formula tersendiri yang digunakan dalam memasarkan produk mereka.

“Bagi saya, sesebuah filem yang hendak dijual haruslah mendapat kepercayaan penonton dari sudut penceritaan dan kandungan naskhah tersebut, namun paling penting juga adalah formula digunakan untuk memasarkan filem itu.

“Saya lihat filem-filem terbitan Skop Production mempunyai kelebihan tersebut. Bermula pada era ayahnya, Syamsul mahu pun Syafiq, mereka mempunyai formula asas sama iaitu memberikan kandungan berkualiti tanpa mengetepikan kehendak penonton,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Ahmad Idham yang juga penerbit dan pengarah, formula membariskan pelakon utama yang popular dengan penceritaan menghiburkan ternyata berjaya menarik penonton ke pawagam.

AHMAD IDHAM
AHMAD IDHAM

“Saya lihat formula itu berjaya, apatah lagi mereka sentiasa membuat penambahbaikan dalam karya-karya baharu dengan garapan lebih baik dan pembikinan lebih besar mengikut perkembangan semasa.

“Saya akui pada awal penglibatan dalam dunia pengarahan dan penerbitan, saya juga mengambil formula sama dengan Yusof Haslam.

"Ketika era saya buat filem Jangan Pandang Belakang, Adnan Sempit dan lain-lain, harga tiket wayang baru antara RM6 hingga RM8 tetapi kita berjaya dapat kutipan filem hampir RM10 juta.

"Bagaimanapun dalam mengetengahkan apa pun formula, kualiti dan isi naskhah haruslah dijaga.

Kita tidak mahu era lambakan filem sekitar 2011 berulang dengan ramai pembikin filem baharu hanya mahu buat filem box office tetapi mengabaikan aspek kualiti sehingga membunuh kepercayaan orang ramai untuk ke pawagam, sekali gus menjejaskan industri,” jelas beliau.

Sementara itu, pengarah, Osman Ali pula melihat perkembangan tersebut sebagai petanda positif untuk industri filem tempatan terus bergerak ke hadapan apabila mendapat sokongan dan kepercayaan memberangsangkan daripada orang ramai.

OSMAN
OSMAN

“Sebagai pembikin filem, saya bangga melihat filem-filem tempatan berjaya menarik perhatian ramai dan mendapat sokongan padu di pawagam.

"Ia sangat positif dan secara tidak langsung turut memberi semangat kepada kita untuk bekerja lebih keras, sekali gus menyumbang kepada industri," katanya.

Menurutnya, penghasilan naskhah-naskhah seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Polis Evo 3 dan seumpamanya datang dengan formula serta resipi lengkap sebagai sebuah filem mempunyai nilai hiburan kuat untuk membuatkan orang ramai mahu ke pawagam dan menunggu filem apa lagi yang ada selepas ini.

“Bercakap soal formula juga, saya sangat hormat, puji dan kagum dengan perjuangan Yusof Haslam serta legasinya menerusi Skop Production yang sentiasa menyemarakkan industri filem tempatan dengan kejayaan diraih.

“Menerusi formula atau acuan yang dicipta dari zaman Sembilu sehingga terbaharu, Polis Evo 3, beliau jelas sangat memahami cita rasa mainstream penonton di Malaysia,” ujarnya.

Pada masa sama, Osman menyifatkan kejayaan itu juga sebagai pemangkin kepada industri filem tempatan yang nampak hidup dan mampu bersaing dengan filem-filem antarabangsa ditayangkan di pawagam dari segi kutipan.

“Senario positif ini menjadikan industri kita nampak hidup. Kita hasilkan filem dan orang ramai berikan sokongan dengan datang menonton di pawagam.

“Bagaimanapun, dalam sesebuah industri filem, kita perlukan kepelbagaian genre. Jadi, berilah sokongan kepada semua jenis filem sama ada mainstream, artistik, independent dan lain-lain.

"Kita raikan filem yang berjaya mendapat kutipan puluhan juta di pawagam, naskhah yang sampai ke festival antabangsa dan lain-lain," katanya.

Tambah beliau, setiap pengarah dan pembikin filem ada pendekatan, ideologi atau falsafah mereka sendiri dalam membikin filem.

"Jadi kita mungkin tidak boleh ikut acuan sama. Bila ada kepelbagaian, ia secara tidak langsung menampakkan industri filem kita berkembang,” katanya yang pernah mencipta kejayaan menerusi filem arahannya, Ombak Rindu yang membuat kutipan lebih RM10 juta.