Surat didakwa rayuan lulus projek, lantikan terus kontraktor AKSB tersebar

Tangkap layar yang dimuat naik di Facebook Mohd Afiq Asyraf.
Tangkap layar yang dimuat naik di Facebook Mohd Afiq Asyraf.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan dan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) sekali lagi menjadi tumpuan apabila tersebar surat-surat didakwa berkait rayuan kelulusan bagi projek sudah dijalankan oleh kontraktor pakar yang dilantik secara rundingan terus bagi pembinaan tiga loji rawatan air (LRA) di negeri ini tahun lalu.

Pendedahan dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Mohd Afiq Asyraf Mohd Nazi di Facebooknya sejak Sabtu.

Dakwa Mohd Afiq Asyraf, surat tersebut tertera arahan kelulusan oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta permohonan kelulusan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Pembinaan melibatkan LRA Mini Ketereh, LRA Mini Meranti Baru dan LRA Mini Taman Teluk Mesira.

“Projek LRA Mini Ketereh telah dijalankan meskipun tidak dipohon kelulusan, paksa rela SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) perlu meluluskan secara bersyarat.

“Manakala dua projek LRA mini iaitu di Meranti Baru dan Teluk Mesira telah diluluskan selepas satu surat yang dihantar oleh Datuk Azami kepada Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bertarikh 17 Julai 2022 yang meminta kelulusan untuk kedua-dua projek LRA mini tersebut.

“Apa yang menarik adalah nota tangan oleh Menteri Besar Kelantan dan YBM KASA, 'diluluskan dengan amaran',” kata Mohd Afiq Asyraf.

Beliau turut mempersoalkan integriti pihak yang bertanggungjawab mengurus dan membekalkan air kepada rakyat di negeri ini.

Sinar Harian dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan yang berkaitan dengan pendedahan itu.