Tiga tan sampah dikutip dari Everest

Sebahagian sisa sampah sarap yang ditinggalkan para pendaki.
Sebahagian sisa sampah sarap yang ditinggalkan para pendaki.
A
A
A

KATHMANDU - NEPAL. Pasukan pembersihan khas yang dihantar ke Gunung Everest berjaya mengumpulkan tiga tan sampah sarap dalam tempoh dua minggu selepas kempen itu dijalankan, menurut pihak berkuasa, semalam.

Sampah sarap yang dikumpulkan termasuk tin kosong, botol dan plastik yang ditinggalkan di kem pangkalan dan kawasan sekitarnya.

"Kempen pembersihan itu baru sahaja bermula dan kini mereka mendaki ke kem lebih tinggi," kata Ketua Jabatan Pelancongan Nepal, Dandu Raj Ghimire.

Kerajaan telah menghantar pasukan terdiri daripada 14 anggota dengan matlamat untuk membawa turun 10,000 kilogram sampah yang ditinggalkan di puncak tertinggi di dunia itu dalam tempoh sebulan setengah.

Sebuah helikopter tentera turut digunakan bagi mengangkut satu pertiga sampah ke Kathmandu untuk dikitar semula manakala sisa yang boleh diurai dibawa ke daerah Okhaldhunga untuk dilupuskan dengan cara yang betul.

Difahamkan, lapan anggota kumpulan itu kini sedang membersihkan Kem 2 terletak pada ketinggian 6,400 meter (m) manakala tiga lagi akan berada di Kem 4 pada ketinggian 7,950 m di mana mereka akan menghabiskan masa selama 15 hari untuk mengumpulkan sampah sarap di kawasan lereng bersalji tersebut.

"Kempen pembersihan itu akan diteruskan dalam musim akan datang. Ia menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan gunung ini kekal bersih," kata Ghimire lagi.

Enam tahun lalu, Nepal mengenakan deposit AS$4,000 (RM16,528) untuk setiap pasukan yang akan dikembalikan jika setiap pendaki membawa turun kira-kira 8 kilogram sampah, namun hanya separuh berbuat demikian. Februari lalu, China melarang mereka yang bukan berniat untuk mendaki menghampiri kem pangkalan Everest sebagai usaha untuk membersihkan kawasan gunung tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: