ABIM kecam tindakan roboh Masjid Najiaying

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar tindakan kerajaan China yang merobohkan Masjid Najiaying di Yunnan.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, isu berkenaan sememangnya berat kerana ia melibatkan rumah ibadat yang berusia lebih 650 tahun.

“Sesungguhnya insiden ini amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan ketidakprihatinan kerajaan Republik Rakyat China terhadap kebudayaan kelompok Muslim Hui yang telah bertapak dan membentuk sebahagian daripada kepelbagaian etnik di negara tersebut.

“Tindakan ini telah mencetuskan bantahan secara besar-besaran masyarakat Muslim dan mengakibatkan tangkapan serta tindakan di luar batas undang-undang di wilayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan berlakunya tunjuk perasaan terhadap pasukan polis berhubung rancangan pihak berkuasa tempatan ingin merobohkan kubah sebuah masjid di bandar Yunnan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Menurut Muhammad Faisal, ABIM menyeru umat Islam dan masyarakat antarabangsa untuk menzahirkan keprihatinan serta bantahan terhadap sikap tidak prihatin pihak berkuasa Republik Rakyat China.

Pada masa sama, beliau mendakwa, tindakan kerajaan China seolah-olah ingin melenyapkan sejarah lampau.

“Bukan itu sahaja, mereka juga mahu menyingkirkan sumbangan etnik Muslim Hui di wilayah berkenaan yang menjadi sebahagian daripada akar budaya dan masyarakat China,” ujarnya.