Inter bakal dapat bonus RM49 juta

ZHANG
ZHANG
A
A
A

PRESIDEN Inter Milan, Steven Zhang dilaporkan telah menyediakan bonus €10 juta (RM49 juta) untuk skuad itu jika mereka berjaya menewaskan Manchester City dalam aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Ataturk, Istanbul Ahad depan.

Pasukan yang terkenal dengan gelaran Nerazzurri itu tidak bermain di Final Liga Juara-Juara sejak 2010.

Menurut laporan La Gazzetta dello Sport, Zhang teruja untuk melihat pasukannya memenangi trofi tersebut dan membantu menambahkan motivasi dengan mengumumkan bonus tersebut untuk dibahagikan kepada kesemua pemain jika mereka memenangi Liga Juara-Juara.

Sebelum ini, sudah terdapat klausa bonus €5 juta (RM24 juta) dalam kontrak setiap pemain sekiranya menang di peringkat Eropah dan pengumuman terbaharu oleh Zhang itu sudah tentu akan menaikkan lagi motivasi pasukan.

Musim ini, skuad bimbingan Simone Inzaghi telah pun memenangi Piala Itali dan Piala Super Itali sekali gus mengekalkan kedua-dua trofi tersebut yang dimenangi musim lalu.

Jika Inter menang, pasukan akan turut meraih pendapatan tambahan €4.5 juta (RM22 juta) daripada UEFA serta bonus daripada penaja mereka.

Sementara itu, Manchester City juga sudah tentu tidak akan memberi laluan mudah buat Inter dengan mereka juga cuba mengejar kejuaraan selepas memenangi Liga Perdana Inggeris.