RM320 juta untuk kurangkan ketirisan air, selenggara loji Sabah

Shahelmey
Shahelmey
A
A
A

KOTA KINABALU - Peruntukan sebanyak RM320 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kerajaan Sabah akan digunakan bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan penyelenggaraan pam atau loji rawatan air (LRA) di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan langkah tempoh jangka pendek dan panjang bagi menangani masalah air di negeri ini menerusi mesyuarat bersama Perdana Menteri pada Khamis.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, untuk jangka pendek, sebanyak 20 inisiatif akan dilaksanakan serta-merta bagi tempoh antara enam hingga 12 bulan bagi memulihkan masalah air yang dihadapi kini.

"Bagi tempoh jangka pendek ini kita menumpukan usaha mengurangkan NRW atau kadar ketirisan air.

"Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah melakukan pemotongan sambungan haram, membaiki paip bocor yang usang serta menggantikan pam air yang rosak dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada masjid dan surau di Kampung Tanjung Aru di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, peruntukan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri itu akan disalurkan dalam masa terdekat kepada kerajaan Sabah.

Shahelmey menyampaikan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada wakil masjid dan surau di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Shahelmey menyampaikan set kelengkapan pengurusan jenazah kepada wakil masjid dan surau di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

"Insya-ALLAH dalam tempoh enam bulan ini masyarakat akan dapat merasa perubahan bekalan air tersebut.

"Kita juga mengarahkan jabatan air untuk mengurus pengagihan bekalan air bukan hanya di Tuaran tetapi di Kota Kinabalu, Putatan dan Papar sementara menanti siapnya LRA Telibong Fasa Dua yang akan memberi tambahan sebanyak 80 juta liter sehari (MLD) bagi air di Kota Kinabalu," katanya.

Ahli Parlimen Putatan itu berkata, bagi perancangan tempoh jangka panjang akan melibatkan projek empangan di Papar dan Ulu Padas.

Katanya, Perdana Menteri telah mengarahkan satu jawatankuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah bagi melihat kaedah pelaksanaan, pembiayaan dan sebagainya.

"Untuk empangan Papar kita sedang menanti kajian kemungkinan yang sedang berada di fasa terakhir yang sepatutnya siap Jun ini, tetapi beberapa bulan lalu ada beberapa halangan, namun sudah selesai dan dijangka boleh siap hujung tahun ini.

"Apabila kita dapat laporan itu, maka kita boleh buat keputusan kerana empangan ini nanti akan diperlukan dalam tempoh lima tahun daripada sekarang bagi memastikan tempoh jangka panjang bekalan air di Sabah dalam keadaan stabil dan mencukupi," katanya.