'Hadi, jangan guna agama untuk berbohong' - Mujahid

Mujahid Yusof (kiri), Abdul Hadi Awang
Mujahid Yusof (kiri), Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menggunakan agama untuk melakukan pembohongan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mendakwa, kolum Minda Presiden tulisan Abdul Hadi sering mempergunakan dalil agama dengan konteks yang salah untuk kepentingan Pas.

"Kali ini Hadi cuba menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin Melayu (selain dirinya) berbohong. Tuduhan seperti ini cukup berat. Apatah lagi berdalilkan hadis yang tidak kena pada konteks dan tempatnya.

"Pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan terdorong di atas pembohongan seperti dakwaan Hadi, melainkan ia adalah demi kepentingan yang lebih besar daripada kepentingan sesetengah kelompok. Kerajaan Perpaduan adalah cerminan hasrat rakyat yang mendambakan kestabilan politik setelah tidak ada mana-mana pihak memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Hadi pada Khamis melabelkan orang Melayu termasuk pemimpinnya yang bekerjasama dengan PH sebagai Melayu yang mudah lupa kerana melanggar prinsip masing-masing untuk bersekongkol membentuk kerajaan.

Beliau turut berkata, penganut Islam tidak boleh menyokong pembohong, bahkan bukan Islam yang bermaruah juga sama-sama tidak boleh menyokong pembohong.

Mengulas lanjut, Mujahid memberitahu, tindakan mendatangkan hadis tentang sifat keji berbohong yang dilarang oleh syariat bagi mewajarkan tuduhan kepada Kerajaan Perpaduan jelas sekali satu tindakan yang melambangkan kelemahan berfikir dan singkat pandangannya.

"Apakah Hadi cuba menafikan Maslahah (Maslahat) Besar jauh lebih penting dari agenda sempit beliau? Bukankah dalam memahami prinsip syariat kita kena memahami prinsip maslahah sebagai salah satu sumber kita?

"Maslahah Besar yang perlu diselesaikan segera pasca Pilihan Raya Umum (PRU) adalah tiada blok yang ada majoriti untuk membentuk kerajaan. Membentuk kerajaan adalah Maslahah Utama. Yang di-Pertuan Agong atas kuasa perundangan yang ada padanya menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi Maslahah Utama meneruskan urusan rakyat dan negara. Kepimpinan negara pasca PRU diperlukan untuk meneruskan Maslahah Utama pemulihan ekonomi yang semakin kritikal," ujarnya.

Beliau menjelaskan, semua pemimpin parti daripada berbagai latar dan ideologi bersetuju melihat Maslahah Utama ini sebagai faktor penting untuk mereka meninggalkan di belakang segala kepentingan parti masing-masing dan mendahulukan negara serta rakyat.

"Ini termasuk isu-isu sensitif yang menjadi bahan serangan politik pra PRU ke-15. Meletakkan isu-isu sensitif di belakang sesama parti-parti yang bermusuhan demi mencapai Maslahat Utama pentadbiran negara harus dilihat sebagai satu tindakan terpuji dan tepat dengan kehendak disiplin Maslahah, kenapa pulak dituduh melakukan pembohongan?

"Begitulah kerdilnya cara berfikir Presiden Pas dalam tulisannya sehingga beliau gagal melihat dunia yang lebih besar dari dirinya dan kelompoknya. Lebih malang beliau tergamak mendatangkan sabda junjungan mulia Nabi Muhammad SAW untuk mewajarkan tuduhannya yang tidak berasas itu,'" dakwanya.