Panasonic tawar MSS susulan penutupan dua jabatan pembuatan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KAKITANGAN Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) yang terjejas akibat penutupan dua jabatan pembuatan di kilang Shah Alam 1 (SA1) diberi pilihan Skim Pemisahan Persetujuan Bersama (MSS), sebilangan besar telah menerimanya.

PMMA dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata syarikat itu mengadakan rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan pada 31 Mac 2023 seiring dengan penutupan jabatan tersebut.

Tiada kilang atau jabatan lain yang terjejas.

"Memandangkan kami beroperasi dalam persekitaran yang semakin kompleks, PMMA sentiasa melihat bagaimana untuk menyesuaikan diri dan mengemudi serta memaksimumkan kecekapan perniagaan dan mengembangkan syarikat secara mampan," katanya.

"Strategi yang dijalankan difikirkan dengan teliti dan sebarang keputusan berkaitan tenaga kerja kami dibuat dengan pertimbangan terbaik," katanya.

Syarikat itu menjawab artikel disiarkan portal berita Malaysiakini semalam bertajuk "Panasonic to shut down part of Malaysian operations, hundreds to be jobless" (Panasonic akan tutup sebahagian daripada operasi di Malaysia, ramai akan kehilangan pekerjaan).

PMMA berkata ia mahu mengekalkan budaya hormat-menghormati dan bertanggungjawab serta mengadakan sesi libat urus dengan kakitangannya mengenai perkara tersebut dan menyediakan bantuan dan sokongan sepanjang proses tersebut.

Pekerja yang memilih MSS semasa proses rasionalisasi itu telah menerima pakej pampasan yang adil dan saksama melebihi norma industri, kata syarikat itu.

Mereka yang menolak MSS akan ditawarkan pertukaran ke jabatan lain dalam PMMA, katanya.

Mengenai tuntutan di mahkamah pada tahun 2016 dan 2017, syarikat itu berkata ia telah diselesaikan dan ia tiada kaitan dengan rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan tersebut.

Dalam pemfailan berasingan kepada Bursa Malaysia, Pengarah Urusan PMMA Kenji Kamada telah meletak jawatan berkuat kuasa 31 Mei 2023 berikutan pertukaran wakil di Panasonic Holdings Corporation, Jepun.

Selain itu dalam satu lagi pemfailan lain, ia mengumumkan pelantikan Takashi Sugihara sebagai pengarah urusan berkuat kuasa 1 Jun 2023.

Sugihara mempunyai lebih 35 tahun pengalaman dengan Kumpulan Panasonic Holdings Corporation. - Bernama