Sertai Bersatu, ini peringatan untuk ahli Umno

Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. - Foto Bernama
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. - Foto Bernama
A
A
A
ALOR GAJAH - Bekas ahli Umno yang ingin menyertai Bersatu diingatkan supaya meninggalkan budaya lama mereka ketika berada dalam parti berkenaan terutama sikap mementingkan kedudukan diri sendiri dan tidak mengutamakan rakyat.

Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata golongan berkenaan perlu memahami perjuangan dan cara tadbir urus Kerajaan PH yang amat berbeza daripada pentadbiran kerajaan BN.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka itu berkata pemimpin lama di bawah kerajaan terdahulu sanggup mengubah fakta melibatkan beberapa isu semata-mata untuk memberitahu rakyat bahawa tiada isu serius yang berlaku di negara ini dan pentadbiran mereka tidak mempunyai masalah.

"Kita di peringkat pimpinan Bersatu tidak amalkan dasar tutup pintu kepada mereka khususnya ahli Umno yang ingin menyertai parti. Pada saya mereka ini baru menyedari yang dahulunya mereka mungkin terleka dan hari ini mereka faham apakah itu kepimpinan yang telus.

"Kumpulan pentadbir kerajaan baharu yang dipimpin PH pada hari ini mengamalkan dasar 'lead by example' dan saya yakin ia menjadi tarikan untuk mereka menyertai kita terutama Bersatu...kita tidak sekat asalkan mereka tinggalkan budaya lama," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sentuhan Kasih Bantuan Bencana Banjir Petronas di sini, hari ini.
Artikel Berkaitan:


Pada majlis berkenaan sebanyak 540 keluarga di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah yang terjejas akibat bencana banjir baharu-baharu ini menerima sumbangan RM250 dalam bentuk tunai yang dikreditkan ke dalam MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas dan kelengkapan persekolahan anak mereka dan ia turut dihadiri Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Samsudin Miskon.

Mengulas lanjut, Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata PH menerusi Bersatu komited untuk membuat pelbagai perubahan untuk negara dan rakyat menerusi pentadbiran yang lebih telus, meningkatkan ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat.

"Kita banyak melihat isu berbangkit seperti 1MDB dan Tabung Haji yang dilaporkan media hari ini..rakyat hendak lihat cara Kerajaan PH mentadbir dengan telus, memberitahu mereka macam mana kita mentadbir. Kita ada satu penggal untuk membuktikan adakah kita boleh mengurus tadbir negara lebih baik," kata Ahli Parlimen Alor Gajah itu. - Bernama