Jelajah Selangor Baharu bawa gelombang perubahan rakyat

Kenyataan Pas Selangor pada Rabu. (Gambar kecil: Roslan Shahir)
Kenyataan Pas Selangor pada Rabu. (Gambar kecil: Roslan Shahir)
A
A
A

SHAH ALAM - Ceramah perdana ‘Jelajah Selangor Baharu’ anjuran Pas Selangor didakwa membawa mesej Selangor Baharu akan diadakan di Padang Astaka, Tanjong Karang pada Ahad ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, ia merupakan ceramah pertama dalam siri-siri ceramah menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurutnya, ceramah atas nama Perikatan Nasional (PN) Selangor itu juga bagi mencetuskan gelombang perubahan rakyat dan membina kerajaan negeri baharu di bawah PN yang bersih dan stabil.

"Sesungguhnya himpunan ini menepati tuntutan sebuah negara demokrasi yang menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pas Selangor mengharapkan pihak kerajaan negeri memberikan kerjasama dan tidak bertindak menyekat hak rakyat untuk berhimpun secara aman," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah jajaran Parlimen Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam kini dikuasai PN apabila calon-calonnya atas sokongan rakyat khasnya anak-anak muda telah menumbangkan calon-calon UMNO dan PH dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Lantas mereka berhak berhimpun secara aman untuk mendengar penerangan dan penjelasan dari pimpinan mereka," katanya.

Jelasnya, antara pemimpin PN dijangka hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.