OPEC benarkan Iran kembali dalam pasaran minyak

OPEC meluluskan pengembalian sepenuhnya Iran ke pasaran minyak apabila sekatan terhadap industri minyaknya ditarik balik. - Foto hiasan 123RF
OPEC meluluskan pengembalian sepenuhnya Iran ke pasaran minyak apabila sekatan terhadap industri minyaknya ditarik balik. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

MOSCOW - Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan meluluskan pengembalian sepenuhnya Iran ke pasaran minyak apabila sekatan terhadap industri minyaknya ditarik balik, kata Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais dalam temu bual dengan agensi Iran Shana dan majalah Iran Petroleum.

"Kami mengalu-alukan minyak Iran kembali ke pasaran apabila sekatan ditarik balik,” katanya.

Al Ghais juga berkata, pasaran minyak dan permintaan untuk bahan itu semakin meningkat dan Iran merupakan aggota yang bertanggungjawab.

Selain itu, katanya Iran adalah antara pengasas OPEC dan pemain utama dalam pasaran global.

Namun, sekatan telah mengehadkan kapasiti pengeluaran Iran, tetapi Tehran terus memainkan peranan utama dalam memastikan bekalan minyak yang stabil dan boleh dipercayai selain melabur dalam kedua-dua penerokaan dan penapisan minyak selain dalam petrokimia.

Di bawah pemerintahan presiden Donald Trump, Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada Mei 2018 dan mengenakan sekatan terhadap Iran termasuk sekatan ke atas pembelian minyak dilaksanakan semula sepenuhnya pada November tahun yang sama.

Bagaimanapun, pihak berkuasa AS memberikan kebenaran sementara kepada beberapa negara untuk terus membeli minyak dari Tehran sehingga Mei 2019 dan tarikh itu tidak dilanjutkan. - Bernama