RM25 juta Geran Sepadan Sektor Kebudayaan tahun ini

Lebih banyak aktiviti dan program kesenian serta kebudayaan berbentuk fizikal akan dilaksanakan bermula tahun ini di 11 Kompleks JKKN seluruh negara. - Gambar hiasan
Lebih banyak aktiviti dan program kesenian serta kebudayaan berbentuk fizikal akan dilaksanakan bermula tahun ini di 11 Kompleks JKKN seluruh negara. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Geran Sepadan Sektor Kebudayaan berjumlah RM25 juta diperuntukkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun ini sebagai inisiatif galakan kepada pemain industri dan pihak berkepentingan di negara ini selepas negara memasuki fasa Peralihan ke Endemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, geran berkenaan juga diperuntukkan bagi mengaktifkan semula pelbagai program kebudayaan secara lebih proaktif dan permohonan boleh dilakukan menerusi MOTAC dan JKKN negeri.

"Pemberian Geran Sepadan Sektor Kebudayaan telah bermula sejak tahun lepas lagi dan peruntukan yang disediakan juga sama iaitu sebanyak RM25 juta bagi tempoh setahun.

"Pada tahun ini, peruntukan geran berkenaan telah diluluskan dalam Belanjawan Siri Kedua baru-baru ini dan ia boleh dimohon oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang terlibat dalam sektor kebudayaan," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya dalam proses pengumpulan permohonan geran tersebut dan mesyuarat jawatankuasa pertama bagi mempertimbangkan permohonan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, pengagihan peruntukan geran berkenaan pula dijangka diagihkan bermula Jun ini dan mereka yang ingin memohon geran itu diminta segera berbuat demikian kerana permohonan yang diterima dijangka banyak seperti tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amran berkata, lebih banyak aktiviti dan program kesenian serta kebudayaan berbentuk fizikal akan dilaksanakan secara lebih aktif bermula tahun ini di 11 Kompleks JKKN seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menyediakan peluang dan ruang berkarya kepada semua pemain industri daripada setiap peringkat khususnya dalam sektor kebudayaan dan kesenian.

"Seperti mana yang kita sedia maklum pada penghujung 2019, pandemik Covid-19 telah merencatkan segala aktiviti seni budaya di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali merasai kesannya sehingga menyebabkan kompleks-kompleks seni budaya di bawah JKKN di seluruh negara turut menerima tempias.

"Justeru, langkah ini bertujuan menghidupkan kembali kesedaran untuk menghargai seni budaya secara fizikal serta bersemuka kerana sebelum ini, aktiviti yang dilakukan adalah terhad dan menerusi dalam talian," katanya. - Bernama