Bekas komando dipenjara empat tahun kerana menipu

Rosdi (tengah) mengaku bersalah dan dihukum penjara kerana menipu.
Rosdi (tengah) mengaku bersalah dan dihukum penjara kerana menipu.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang bekas komando tentera dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas dua kesalahan menipu melibatkan kerugian RM17,500.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosdi Ibrahim, 59, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Muhammad Syahran Amirul Azlan, 27, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai tertuduh akan membekalkan stok rokok dan mendorongnya menyerahkan wang tunai RM5,500 di sebuah kedai roti canai di Stesen Kereta Api di bandar Pasir Mas di sini pada 8.30 malam, 23 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, tiga hari sebelum itu mangsa didatangi tertuduh di sebuah masjid di Kubang Bemban menawarkan jualan rokok seterusnya berjumpa dengan mangsa yang kemudian menyerahkan sejumlah wang tunai namun tertuduh menghilangkan diri ketika Muhammad Syahran pergi untuk mengambil air minuman.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu peniaga, Norizan Yusoff, 53, dengan memperdaya mangsa mempercayai tertuduh akan membekalkan kain, rokok dan mercun serta mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM12,000 di lot kedai Pasar Tasek Raja pada jam 9 malam, 6 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh juga menghilangkan diri selepas menerima wang tersebut daripada mangsa.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun, maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan.

Tertuduh melalui peguamnya merayu hukuman minimum kerana kini hanya bekerja sebagai pemotong rumput dan perlu menanggung isteri serta sembilan anak mereka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara setahun bagi tuduhan kedua yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman pertama.

Pengecualian hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 289 (c) Kanun Prosedur Jenayah atas faktor usia tertuduh.